PETALING JAYA : Pakatan Harapan (PH) kekal sebagai pembangkang dan Parlimen tidak dibubar sebelum 31 Julai 2022.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu antara perkara dipersetujui antara kerajaan dan PH susulan memorandum persefahaman (MOU) bersejarah yang dimeterai petang ini.
“Fokus MoU iaitu bantuan kepada rakyat termasuk bantuan wang tunai, tambah baik usaha tangani Covid-19, reformasi Parlimen, MA63, kebebasan kehakiman. Dokumen lengkap menyusul,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, satu MoU dimeterai kerajaan Persekutuan dengan PH yang merangkumi aspek Pemerkasaan Pelan Covid-19, Transformasi Pentadbiran, Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia MA63 dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.
MoU itu ditandatangani antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama ketua-ketua parti dalam Pakatan Harapan (PH) iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dalam satu majlis di Dewan Bankuet Parlimen hari ini. -UTUSAN ONLINE










