PETALING JAYA: Angka korban genosid di Gaza kini meningkat kepada 70,663 orang selepas 391 lagi rakyat Palestin dibunuh secara kejam oleh tentera Israel (IOF) meskipun perjanjian gencatan senjata sedang berjalan.
Kedutaan Palestin memberitahu Utusan Malaysia, rejim Zionis terus melakukan kekejaman, termasuk insiden di kem pelarian Jabalia apabila seorang remaja, Zaher Shamia, 16, digilis dengan jentolak tentera ketika mangsa masih bernyawa.
“Tentera penceroboh dengan sengaja melanggar tubuh remaja terbabit sehingga hancur dengan jentolak tentera ketika dia masih hidup,” katanya.
Selain serangan fizikal, musim sejuk dan kebuluran kini menjadi senjata senyap pembunuhan di Gaza apabila seramai 14 rakyat Palestin dilaporkan meninggal dunia dalam tempoh 24 jam akibat kesejukan melampau dan banjir yang melanda khemah penduduk.
“Antara mangsa yang terkorban ialah bayi berusia lapan bulan iaitu Rahaf Abu Jazar yang maut akibat suhu beku kerana ketiadaan tempat perlindungan yang sempurna.
“Selain itu, 87 peratus unit perumahan di Gaza telah musnah sepenuhnya sehingga memaksa ratusan ribu penduduk berlindung di dalam khemah nilon yang tidak mampu menahan hujan lebat dan angin kencang,” katanya.
Dalam pada itu, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) melaporkan situasi kebuluran dalam kalangan ibu di Gaza semakin kritikal sehingga menyebabkan kelahiran bayi pramatang yang kemudiannya meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan akut.
Laporan sama turut mendedahkan tindakan biadab IOF menyerbu ibu pejabat Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di Sheikh Jarrah, Baitulmaqdis.
“Tentera penceroboh bertindak merampas peralatan dan menurunkan bendera PBB sebelum menggantikannya dengan bendera Israel.
“Ini merupakan satu tindakan yang disifatkan sebagai cabaran langsung terhadap undang-undang antarabangsa,” katanya. – UTUSAN










