Thailand berhak simpan aset tentera dirampas dari Kemboja

Thailand berhak simpan aset tentera dirampas dari Kemboja

GAMBAR daripada Facebook Army Military Forces menunjukkan sistem peluru berpandu GAM-102LR yang dirampas.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Kementerian Pertahanan Thailand mengesahkan negara itu berhak secara sah untuk menyimpan sistem peluru berpandu anti kereta kebal generasi kelima buatan China yang dirampas daripada tentera Kemboja, sekali gus menolak spekulasi senjata berkenaan perlu dikembalikan kepada Beijing.

Jurucakap kementerian, Laksamana Muda Surasant Kongsiri berkata, Tentera Diraja Thailand merampas sistem peluru berpandu GAM-102LR itu semasa operasi mengamankan Hill 500 pada Ahad lalu.

Beliau menegaskan, Thailand tidak mempunyai sebarang kewajiban di bawah undang-undang antarabangsa untuk memulangkan senjata tersebut kepada negara pengeluar, walaupun China menuntutnya.

GAM-102LR merupakan sistem peluru berpandu anti kereta kebal berpandu generasi kelima yang moden, dilengkapi teknologi penyasaran canggih dengan jarak serangan standard antara enam hingga 10 kilometer (km).

Direka untuk misi anti perisai dan serangan tepat, ia diperkenalkan secara rasmi awal tahun ini dan masih digunakan secara terhad di peringkat global.

Sistem berkenaan dihasilkan Poly Defence dari China di bawah siri GAM/Bolas, dan boleh digunakan oleh unit infantri atau dipasang pada kenderaan tentera.

Sementara itu, keadaan keselamatan di sepanjang sempadan timur Thailand dilaporkan masih tegang.

Di wilayah Trat, penduduk mematuhi perintah berkurung yang dikuatkuasakan di lima daerah, yang mengehadkan pergerakan antara pukul 7 malam hingga 5 pagi.

Walaupun marin Thailand mengawal kawasan-kawasan utama, bunyi tembakan dilaporkan pada awal kelmarin berhampiran kediaman penduduk di Chamrak, daerah Mueang Trat.

Tentera Laut Diraja Thailand turut mengharamkan aktiviti penangkapan ikan dan kegiatan maritim lain di perairan Khlong Yai, Ko Chang dan Ko Kut atas faktor keselamatan.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN