Malaysia sumbang AS$100,000 bantu rakyat Afghanistan - Utusan Malaysia

Malaysia sumbang AS$100,000 bantu rakyat Afghanistan

SAIFUDDIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia sedia menghulurkan sumbangan kewangan sebanyak AS$100,000 (kira-kira RM417,000) untuk membantu rakyat Afghanistan dalam masa terdekat.

Perkara itu diumumkan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah ketika menyertai Mesyuarat Menteri Peringkat Tinggi mengenai Situasi Kemanusiaan di Afghanistan  malam tadi.

Persidangan tergempar secara maya itu dikelolakan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres bagi mengukuhkan solidariti dunia ke atas Afghanistan.

“Penyertaan Malaysia mencerminkan kesatuan negara kita terhadap nasib rakyat Afghanistan dalam menangani krisis kemanusiaan,” kata kenyataan Wisma Putra hari ini.

Malaysia turut memberi sokongan teguh kepada PBB serta menggesa hak asasi manusia warga Afghanistan dihormati termasuk penglibatan golongan wanita, belia dan etnik minoriti.

Guterres yang berucap dari ibu pejabat PBB Eropah di Geneva, Switzerland memaklumkan, badan dunia tersebut memerlukan dana AS$606 juta (RM2.5 bilion) bagi tujuan berkenaan.

Jumlah itu sebenarnya berdasarkan unjuran dibuat oleh Program Makanan Dunia PBB untuk 11 juta rakyat Afghanistan daripada isu kebuluran dalam tempoh empat bulan akan datang.

Ia susulan kejatuhan mengejut kerajaan negara Islam yang miskin di rantau Asia Tengah itu pimpinan Presiden Ashraf Ghani kepada pemerintahan semula Taliban pada 15 Ogos lalu.

Beberapa negara Barat sudah pun berikrar sedia menyumbang dengan Amerika Syarikat sebanyak AS$64 juta manakala Denmark mengumumkan derma berjumlah AS$38 juta.

Begitu juga Pakistan dan Iran yang menghantar bekalan ubat serta makanan minggu lalu, sementara China berjanji bantuan yang bernilai AS$31 juta selain tiga juta dos vaksin Covid-19.

Mengulas lanjut, Saifuddin menekankan isu keselamatan dan kebajikan warga Afghanistan serta rakyat asing yang berada di negara tersebut harus diberikan keutamaan serta dilindungi.

“Di samping itu, akses bantuan kemanusiaan yang segera dan selamat  wajar dipastikan selain menuntut penyelesaian politik berkekalan demi keamanan berterusan,” jelas beliau. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN