PARIT: Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) sedia membantu mempercepatkan proses vaksinasi pelajar sekolah berusia 12 hingga 17 tahun di seluruh negara.
Pengerusinya, Datuk Mohd. Nizar Zakaria berkata, LPPKN akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sekiranya diminta susulan sesi persekolahan bersemuka akan dilaksanakan pada 3 Oktober ini.
“Sekiranya KKM dan Kementerian Pendidikan perlu LPPKN membantu proses vaksinasi pelajar, kita bersedia membantu.
“Malah, kita juga sudah membantu program vaksinasi di Klinik Nur Sejahtera di Seremban, Negeri Sembilan yang dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan Program Outreach di seluruh negara sejak Julai lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Belanja Outreach Vaksin Covid-19 di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Parit di sini hari ini melibatkan 538 orang penerima.
Menurut Mohd. Nizar, sehingga kini hampir 25,000 orang telah menerima vaksin di bawah program vaksinasi yang dikendalikan LPPKN di seluruh negara sejak ia dilaksanakan Julai lalu.
“Kita mempunyai 15 buah bas yang berperanan sebagai klinik bergerak dan bersedia membantu di mana-mana tempat diperlukan oleh KKM selain kakitangan kita juga mempunyai kemahiran kerana mereka juga jururawat di Klinik Nur Sejahtera.
“Kita juga akan pergi ke rumah untuk memberi suntikan kepada mereka yang terlantar, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas,” katanya. – UTUSAN