PETALING JAYA: Polis setakat ini merakam percakapan lima individu berkaitan kejadian samun motosikal di Jalan Kuching di sini pada 26 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kesemua individu termasuk saksi dan mangsa kejadian itu diambil bagi membantu pihak polis menjejaki suspek.
“Kita dah ambil keterangan lima saksi, termasuk mangsa lelaki yang turut cedera dalam kejadian itu.
“Pihak polis juga sedang ambil keterangan Siti Nur Azizah Syafriadi, namun, dia masih tidak dapat ingat apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Terdahulu, Eng Lai menyampaikan sumbangan kepada Siti Nur Azizah dan keluarga di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Beringin di Jinjang di sini.
Dalam pada itu, Eng Lai berkata, selain rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian, pihaknya turut mengambil video dipercayai dirakam saksi.
“Video itu dipercayai dirakam seorang pemandu yang ternampak kejadian itu.
“Bagaimanapun video itu sangat pendek kerana suspek turut memarahi saksi yang rakam kejadian itu,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Noramalina Md Jamil di talian 017-318 5868 atau Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-4048 2206 bagi membantu siasatan.
Sebelum ini, Eng Lai berkata, polis masih lagi memburu suspek kes samun bermotosikal di Jalan Kuching di sini pada 26 Ogos lalu.
Katanya, bagaimanapun, nombor plat pendaftaran motosikal dipercayai digunakan suspek tidak dapat dikenal pasti. – UTUSAN










