Letak SPRM bawah Parlimen - Utusan Malaysia

Letak SPRM bawah Parlimen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sudah tiba masanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diletakkan di bawah Parlimen bagi memastikan agensi berkenaan lebih berintegriti menjalankan tugas mengekang amalan salah guna kuasa dan rasuah.

Beberapa peranan membabitkan SPRM dilihat masih tidak memberi kebebasan kepada agensi penguatkuasaan itu dalam menjalankan tugasnya termasuk pelantikan ketua pesuruhjaya oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

AZMI HASSAN

Bercakap kepada Utusan Malaysia, geostrategis, Dr. Azmi Hassan berkata, bagi menjaga aspek integriti, suruhanjaya itu perlu bertanggungjawab kepada Parlimen, bukan kepada Perdana Menteri atau Jabatan Perdana Menteri kerana ia secara langsung menunjukkannya masih terikat dengan badan Eksekutif.

“Lebih baik SPRM malah lembaga penasihatnya dilantik oleh Parlimen dan bertanggungawab penuh kepada badan Legislatif ini. Hal ini demi melihat integriti SPRM secara keseluruhannya.

“Jika SPRM bertanggungjawab, malah lembaga penasihat dilantik menerusi saluran Parlimen, pengurusan SPRM dilihat lebih prihatin dan peka dengan apa berlaku di bawahnya  sekali gus mampu mengambil tindakan sewajarnya,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sebelum ini, timbul kontroversi membabitkan tangkapan tiga pegawai SPRM bagi membantu siasatan berhubung kecurian wang tunai milik seorang individu yang disiasat kerana menyalahgunakan kuasa dan penyelewengan dana pada 2018.

Terbaharu kelmarin, siasatan SPRM ke atas tiga pegawainya membawa kepada penyitaan sebuah rumah dan beberapa kenderaan mewah yang dianggarkan bernilai RM1.6 juta.

Kontroversi membabitkan tiga pegawai itu tercetus susulan RM25 juta milik bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Negara (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid yang pernah disita SPRM tiga lalu, didakwa hilang.

Hasanah pernah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan pecah amanah melibatkan wang kerajaan bernilai RM50 juta, sebaliknya beliau dilepaskan tanpa dibebaskan.

Azmi berkata, isu membabitkan SPRM secara langsung membuka mata  kerajaan untuk mengubah struktur pentadbirannya selaku badan penguatkuasaan penting di negara ini agar diletakkan di bawah Parlimen.

“Kejadian ini tidak seharusnya berlaku namun dalam hal ini telah berlaku. Isu ini boleh mendesak kerajaan supaya peranan SPRM diubah melibatkan struktur pentadbirannya diletakkan di bawah Parlimen di samping lembaga penasihat dilantik menerusi badan Legislatif itu,” katanya.


MOHD. IZANI MOHD.  ZAIN

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain berkata, cadangan meletakkan SPRM di bawah Parlimen adalah supaya suruhanjaya itu lebih serius kepada rakyat ketika menjalankan tugas.

Katanya, SPRM boleh menjawab terus jika ada sebarang pertanyaan atau soalan-soalan daripada ahli Parlimen yang mewakili rakyat.

Menyentuh penubuhan Ombudsman untuk memantau salah guna dalam SPRM, beliau melihat langkah itu sangat perlu bagi mengelakkan situasi ‘harapkan pegar, pegar makan padi’ berulang.

“SPRM perlu bergerak mengikut konsep dan falsafah penubuhannya. Agensi ini perlu kekal mendapat kepercayaan ramai dan reputasi dipandang tinggi,” tegas beliau.

MOHAMED HANIFF KHATRI ABDULLA

Sementara itu, pengamal undang-undang, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, walaupun kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu membentang rang undang-undang (RUU) Ombudsman tahun depan, draf cadangan hendaklah didedahkan kepada umum agar  menjadi satu badan bebas aduan rakyat melaporkan salah guna kuasa agensi penguatkuasaan termasuk membabitkan SPRM.

Jelasnya, Ombudsman perlu diberikan semua kuasa seperti dimiliki agensi penguat kuasa bagi menjalankan siasatan termasuk memanggil saksi untuk membantu siasatan, seterusnya mempunyai peranan seperti badan kehakiman untuk mengeluarkan sepina dan mengambil tindakan lanjut terhadap sesiapa gagal memberikan kerjasama.

“Badan ini hendaklah diberi segala perlindungan menjadi badan bebas hakiki, bukannya sekadar berbentuk kosmetik,” katanya.

Tambah Mohamed Haniff Khatri, Ombudsman bukannya satu benda asing di dunia malah lebih 60 negara mengadakan pelbagai bentuk badan berasaskan kaedah itu untuk menyiasat dan mengadakan inkuiri perlu serta mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang bersalah atau cuai dalam menjalankan tanggungjawab.

“Pada hakikatnya, apa yang sudah lama diperlukan oleh rakyat Malaysia adalah pembentukan satu badan Ombudsman bebas yang dilantik melalui cadangan Dewan Rakyat dan lantikan muktamad di bawah bidang Yang di-Pertuan Agong. Bukannya atas nasihat Eksekutif atau Kabinet.

“Malah ia perlu diasingkan daripada tanggungjawab Perbendaharaan Malaysia dan diberi ruang di dalam soal perbelanjaan serta perjawatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×