PETALING JAYA: Seorang lelaki parah selepas motosikal ditunggangnya bersama rakan melanggar bahagian belakang sebuah kereta di Kilometer 3.3 Lebuhraya Pantai Baharu (NPE), dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.44 malam itu, mangsa berusia 19 tahun menunggang motosikal Yamaha LC135 bersama rakannya dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah kereta Toyota Innova.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kereta berkenaan dikatakan mengubah laluan secara tiba-tiba untuk masuk ke lorong mangsa menyebabkan penunggang motosikal berkenaan jatuh di atas jalan dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
Katanya, mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan dan sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) hospital berkenaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi penolong pegawai penyiasat trafik, Sarjan Abd Halik Md. Zindi di talian 013-3832902 bagi membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










