PETALING JAYA: Penyanyi, Daniel Chuer tampil menjelaskan bahawa dia tidak pernah merungut tentang perjalanan kerjaya seninya walaupun ada pihak mendakwa namanya kurang popular selepas menyertai banyak pertandingan nyanyian.
Daniel atau Danial Chuer Hamasiah Samsudin, 25, berkata, dia sentiasa menghargai setiap pengalaman dan pengajaran yang dilaluinya sepanjang menjadi artis.
“Sejujurnya, saya suka penulisan itu dan menerimanya dengan baik. Tapi, satu perkara yang saya tahu ialah saya tidak pernah merungut tentang ke mana kehidupan membawa saya selepas tamatnya sesebuah pertandingan.
“Saya ikut sahaja aturan perjalanan ini, seronok melalui prosesnya dan belajar banyak perkara,” katanya menerusi satu hantaran di Threads miliknya.
Daniel yang juga bekas juara Idola Kecil Ultra itu berkata, peminat yang mengikuti perkembangannya pasti tahu dia sentiasa mengutamakan bidang pelajaran demi masa depan.
“Saya sangat pasti mereka yang mengikut perkembangan saya dari dekat dan akan tahu bagaimana saya sentiasa meletakkan pendidikan sebagai keutamaan paling atas.
“Malah, saya sudah berulang kali memberitahu tentang rancangan saya untuk menjadi seorang pensyarah atau pendidik demi masa depan jangka panjang. Jadi, saya tidak berkecil hati langsung dengan perkara ini,” jelasnya.
Dalam pada itu, Daniel tetap bersyukur kerana bakat nyanyiannya masih dipandang tinggi dan dihargai oleh peminat industri muzik tempatan.
“Saya sebenarnya sangat menghargai apabila nama saya dipuji sebagai salah seorang penyanyi yang mempunyai vokal yang baik dalam kalangan generasi saya,” katanya.
Kenyataan itu dibuat oleh Daniel bagi menjawab hantaran sebuah hantaran seorang individu sebelum ini yang mempersoalkan mengapa kerjaya seninya kelihatan perlahan.
Terdahulu, Daniel Chuer merupakan naib juara program Big Stage musim keempat pada tahun 2022 dan sebelum ini pernah mencipta nama selepas menjuarai program kanak-kanak popular iaitu Idola Kecil 5 (2012) dan Idola Kecil Ultra (2014).










