PADA saat paling penting dalam kerjayanya, saintis angkasa India, Nandini Harinath, tampil dengan mengenakan sari sutera merah dan biru ketika melaksanakan satu misi bersejarah negara itu.
Kini, sari tersebut dipamerkan dengan penuh kebanggaan di Muzium Udara dan Angkasa Kebangsaan Smithsonian di Washington, Amerika Syarikat (AS).
Nandini yang ketika itu berkhidmat sebagai timbalan pengarah operasi bagi Mangalyaan, misi pertama India menghantar pengorbit ke Marikh, memakai pakaian tersebut pada 1 Disember 2013.

Bagi beliau, sari terutama yang dihadiahkan oleh bapanya sering menjadi pilihan untuk acara penting atau ketika mewakili agensi angkasa India.
Justeru, sari itu menjadi pilihannya pada hari yang dianggap sebagai saat paling kritikal dalam misi berkenaan. Pada hari tersebut, Nandini bersama pasukan saintis dari Pertubuhan Penyelidikan
Angkasa India (Isro) berada di bilik kawalan untuk melaksanakan operasi mengeluarkan kapal angkasa daripada orbit Bumi sebelum menghantarnya dalam perjalanan selama 300 hari menuju ke Marikh.
“Ia adalah detik hidup atau mati, operasi paling kritikal dalam misi itu.
“Kami perlu menentukan ke mana kapal angkasa itu akan pergi, bagaimana ia akan pergi dan bila ia akan pergi. Kejayaan misi tersebut bergantung kepada apa yang kami lakukan pada hari itu,” katanya ketika ditemu bual pada 2016.
Usaha itu membuahkan hasil apabila Mangalyaan berjaya memasuki orbit Marikh pada 24 September 2014, sekali gus menjadikan India negara atau blok geopolitik keempat yang berjaya mencapai kejayaan tersebut.
WANITA ROKET
Nandini dan beberapa saintis angkasa wanita lain mula mendapat perhatian dunia selepas gambar mereka memakai sari meraikan kejayaan misi di Isro tular di media sosial.
Imej tersebut mencabar tanggapan bidang sains roket di India didominasi sepenuhnya oleh lelaki. Isro kemudian menjelaskan wanita yang dilihat meraikan kejayaan dalam gambar berkenaan adalah kakitangan pentadbiran.
Namun, agensi itu turut menegaskan ramai saintis wanita memainkan peranan penting dalam misi tersebut dan berada di bilik kawalan ketika operasi berlangsung.
Kurator sejarah angkasa di Muzium Smithsonian, Matt Shindell, berkata imej berkenaan memberi kesan mendalam kepadanya.
“Saya merasakan ia adalah kisah yang sangat menarik untuk diceritakan, iaitu kisah ‘Wanita Roket’ yang berada di barisan hadapan dalam menjayakan misi penting ini,” katanya kepada BBC.

– AGENSI
Shindell menghubungi Nandini melalui e-mel pada 2020 dan kedua-duanya mula berbincang mengenai artifak yang paling sesuai untuk mewakili misi Marikh India serta peranannya dalam projek bersejarah itu.
“Saya bertanya kepadanya apakah objek yang sanggup diserahkannya. Akhirnya kami bersetuju memilih sari yang dipakainya pada hari Mangalyaan meninggalkan orbit Bumi,” kata Shindell.
Selepas sari berkenaan bersama blaus biru padanannya tiba di muzium, pakar pemuliharaan tekstil, Beth Knight, menonton beberapa video YouTube untuk mempelajari cara mengenakan sari itu pada patung pameran.
Menurut Shindell, sari tersebut mempunyai persamaan simbolik dengan beberapa pakaian penting lain yang disimpan dalam koleksi muzium itu, khususnya yang dipakai ketika misi bersejarah di pusat kawalan penerbangan.
Ini termasuk vest milik Gene Kranz, ketua kawalan penerbangan Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) yang membantu membawa pulang kru Apollo 13 dengan selamat pada 1970 selepas berdepan kecemasan di angkasa lepas.
KOLEKSI PERTAMA MUZIUM
Muzium Smithsonian turut menyimpan beberapa artifak dari India dalam koleksinya, namun kebanyakannya berkaitan Tentera Udara dan syarikat penerbangan negara itu.
Muzium berkenaan juga memiliki dulang perak peringatan yang dihadiahkan oleh Isro kepada penulis fiksyen sains terkenal, Arthur C. Clarke, sempena ulang tahunnya yang ke-90 pada 2007.
“Namun, sari milik Nandini adalah objek pertama dari India yang saya kumpulkan untuk koleksi sains antara planet kami, dan ia juga merupakan sari pertama dalam koleksi muzium ini,” kata Shindell.
Pakaian itu kini dipamerkan di galeri ‘Futures in Space’ di Muzium Udara dan Angkasa Kebangsaan, bersama pelbagai artifak lain termasuk permainan, mainan dan poster filem.










