SABAK BERNAM: Seorang lelaki maut tersepit apabila kereta jenis Toyota Vios yang dipandunya terperosok di bawah lori treler yang membawa muatan kelapa sawit dalam kejadian pada pukul 5 pagi tadi.
Bagaimanapun, mayat mangsa hanya dapat dikeluarkan pada pukul 8.20 pagi tadi.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis, mangsa berumur dalam 30-an itu melanggar kenderaan berat terbabit yang dipercayai keluar dari pusat timbang sawit di Jalan Lama Pancang Bedena menghala ke Sungai Besar di sini.
“Akibat daripada kemalangan itu, mangsa yang tersepit di bahagian kereta yang remuk telah dikeluarkan oleh pihak bomba.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Norazam berkata, seramai lapan anggota BBP Sungai Besar dan sebuah jentera FRT bergegas ke lokasi kejadian setelah menerima laporan kejadian pada pukul 5 pagi. -UTUSAN ONLINE










