PETALING JAYA: Usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri meluahkan rasa kecewa dan berang terhadap beberapa individu termasuk seorang timbalan pengerusi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang disyaki terlibat dalam penyelewengan dana zakat berjumlah RM230 juta.
Aliff Syukri atau nama penuhnya Aliff Syukri Kamarzaman, 38, yang merupakan antara penyumbang zakat perniagaan tertinggi kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) sejak beberapa tahun lalu, menyifatkan perbuatan tersebut sebagai tidak berperikemanusiaan kerana sanggup mengambil hak golongan yang memerlukan.
Menurutnya, dana zakat sepatutnya disalurkan kepada fakir miskin, ibu tunggal serta pelajar yang memerlukan bantuan, bukannya disalahgunakan untuk kepentingan peribadi.
“Kau punya hati ini apa? Hati binatang atau apa? Duit zakat pun sanggup diseleweng.
“Itu duit untuk fakir miskin, ibu tunggal dan pelajar. Ramai orang merayu-rayu mohon zakat tetapi tidak dapat, inilah puncanya,” katanya menerusi sebuah video yang dimuat naik di media sosial.
Tambah beliau, insiden tersebut bukan sahaja menjejaskan golongan asnaf, malah boleh menghakis kepercayaan masyarakat terhadap institusi zakat.
“Seorang yang mencuri, akhirnya semua pusat zakat lain turut terpalit. Orang ramai jadi takut untuk membayar zakat kerana bimbang perkara sama berlaku,” ujarnya.
Sebagai pembayar zakat, Aliff mengakui amat terkilan kerana selama ini dia bekerja keras siang dan malam demi memastikan dapat terus menyumbang kepada golongan yang memerlukan melalui zakat.
“Saya berniaga pagi, petang, siang dan malam dengan niat untuk bantu orang melalui zakat. Itu dosa besar. Saya jual beg dan pelbagai produk demi misi untuk memberi zakat sebanyak mungkin, tetapi ada pula yang sanggup menyeleweng. Apa perasaan kami sebagai pembayar zakat?” katanya.
Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan tiga individu termasuk seorang timbalan pengerusi NGO kerana disyaki menyeleweng dana zakat berjumlah RM230 juta.
SPRM turut membekukan 33 akaun bank yang melibatkan jumlah kira-kira RM120 juta bagi membantu siasatan.
Dua daripada individu terbabit direman selama empat hari untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) dalam satu kenyataan menegaskan bahawa pihaknya tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kes penyelewengan dana zakat tersebut yang kini sedang disiasat oleh pihak berkuasa.










