WASHINGTON: Kapal kontena Touska yang mengibarkan bendera Iran dan dirampas oleh tentera Amerika Syarikat (AS) pada Ahad, berkemungkinan membawa barangan dwifungsi yang boleh digunakan untuk tujuan ketenteraan.
Memetik sumber keselamatan maritim, kapal kontena kecil itu merupakan sebahagian daripada kumpulan Islamic Republic of Iran Shipping Lines (IRISL) yang kini berada di bawah sekatan ekonomi AS.
Kapal tersebut dipintas dan dinaiki anggota tentera di luar pantai pelabuhan Chabahar, Iran, di Teluk Oman.
Markas Pemerintahan Pusat AS (CENTCOM) dalam satu kenyataan memaklumkan krew kapal Touska gagal mematuhi amaran berulang kali yang diberikan selama enam jam.
Pihak AS turut menegaskan kapal berkenaan telah melanggar sekatan maritim yang ditetapkan oleh Washington.
Sumber keselamatan yang enggan dikenali mendedahkan penilaian awal menunjukkan kapal itu berkemungkinan membawa barangan kegunaan dwifungsi selepas melakukan pelayaran dari Asia.
Salah seorang sumber turut mendakwa kapal tersebut mempunyai rekod membawa barangan serupa sebelum ini.
Walaupun perincian barangan tidak didedahkan secara khusus, CENTCOM sebelum ini menyenaraikan bahan seperti logam, paip dan komponen elektronik antara barangan yang dikategorikan mempunyai kegunaan industri serta ketenteraan yang boleh dirampas.
Dalam pada itu, Kementerian Luar Iran menyifatkan tindakan tentera AS menyerang kapal komersial berhampiran pantainya sebagai perbuatan yang menyalahi undang-undang dan mencabuli undang-undang antarabangsa.
Teheran menuntut pembebasan segera kapal tersebut, termasuk semua pelaut dan ahli keluarga mereka yang berada di atas kapal.
Pihak kementerian turut menambah, insiden itu telah melanggar perjanjian gencatan senjata yang dipersetujui bulan ini dan memberi amaran Washington perlu bertanggungjawab atas sebarang peningkatan ketegangan.
Tentera Iran dalam satu kenyataan melalui media kerajaan menuduh AS melakukan tindakan seperti lanun bersenjata terhadap kapal yang dalam perjalanan dari China itu.
Pihak tentera Iran menegaskan mereka bersedia untuk berdepan dengan tentera AS atas pencerobohan terang-terangan tersebut, namun terpaksa mengehadkan tindakan demi keselamatan ahli keluarga kru yang berada di atas kapal berkenaan.










