NIBONG TEBAL: Kementerian Kerja Raya (KKR) sentiasa berada dalam keadaan siap siaga khususnya untuk menghadapi musim peralihan monsun tidak lama lagi.
Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pihaknya juga telah mengarahkan pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) di seluruh negara memantau kawasan cerun serta jalan raya yang berisiko berlaku kejadian seperti tanah runtuh dan sebagainya.
Katanya, selain kakitangan JKR, syarikat konsesi di lapangan akan turut mengambil tanggungjawab membuat pemantauan yang sama.
“Peralihan monsun ini maknanya akan berlaku ribut petir serta hujan yang lebat dan di situlah kita kena pantau supaya jika ada apa-apa kemungkinan berlaku, maka langkah pencegahan dapat diambil.
“Tapi, kalau berlaku juga, kita kena lihat dari segi sudut keselamatan pula supaya amaran awal dapat diberikan kepada pengguna untuk mengambil langkah yang perlu dan sebagainya,” katanya.
Fadillah berkata demikian ketika menghadiri Majlis Penyerahan Projek Menaiktaraf Laluan Persekutuan FT001 dari Persimpangan Permatang Keling (Seksyen 720) ke Jambatan Di Atas Sungai Junjung, Simpang Ampat (Sek. 740), di sini, hari ini.
Mengulas mengenai projek itu katanya, ia dilaksanakan sejak 5 Disember 2017 dan siap sepenuhnya pada 24 Februari lalu dengan kos hampir RM109.4 juta.
Katanya, panjang keseluruhan jajaran projek berkenaan ialah 20 kilometer (km) dan skop utamanya melibatkan kerja-kerja seperti menaik taraf jalan daripada dua lorong kepada empat lorong dua hala, menaik taraf sistem perparitan dan sebagainya.
Pada masa sama, Fadillah turut merasmikan Projek Menaik Taraf Jambatan FT.001/724/5 yang merentasi Sungai Kerian dan membina jejambat merentasi persimpangan Jalan Persekutuan ke Jalan Transkrian FT.001/FT283.
Katanya, projek selama 36 bulan yang bernilai RM209 juta itu pula dijangka siap menjelang 7 Julai 2024. -UTUSAN ONLINE









