SHAH ALAM: Kes pemandu Mitsubishi Triton yang mengakibatkan dua kematian di Kilometer 8.5 Lebuhraya Persekutuan di sini, Ahad lalu diklasifikasikan sebagai kes bunuh.
Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam menerusi kenyataan memaklumkan kes itu diklasifikasikan semula kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Justeru, tempoh reman ke atas suspek berusia 24 tahun itu disambung selama tiga hari bagi membantu siasatan.
“Reman terhadap pemandu yang melawan arus itu disambung bermula hari ini (semalam).
“Permohonan sambungan itu dipersetujui Timbalan Pendaftar Kanan Mahkamah Tinggi Shah Alam, Norliza Hussin untuk siasatan lanjut,” kata kenyataan itu, semalam.
Ahad lalu, dua remaja maut apabila kereta dinaiki mereka bertembung dengan kenderaan pikap Mitsubishi Triton yang dipandu secara melawan arus di lebuh raya tersebut.
Mangsa, Nur Afiqah Abdul Karim, 18, yang memandu kereta jenis Proton Wira Aeroback dan penumpang, Muhammad Hafiz Syami Dzul Asri, 19, mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).
Pasukan bomba yang menerima panggilan pada pukul 1.51 pagi mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit pada bahagian depan kereta dan menyerahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib memaklumkan ujian air kencing terhadap pemandu Triton itu didapati positif ganja. – UTUSAN










