Hotel Primula tutup, 29 kakitangan positif Covid-19 - Utusan Malaysia

Hotel Primula tutup, 29 kakitangan positif Covid-19

Primula Hotel di Kuala Terengganu diarah tutup 14 hari kerana 29 pekerjanya positif Covid-19.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Hotel Primula milik kerajaan negeri diarahkan ditutup 14 hari berikutan 29 kes positif Covid-19 dalam kalangan pekerjanya.

Pengurus Besarnya, Suaibah Harun berkata, penutupan sementara itu berkuat kuasa semalam hingga 18 September ini bagi memberi laluan kepada kerja-kerja membasmi dan mencegah penularan penyakit berjangkit tersebut.

Menurut beliau, arahan penutupan dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) selepas mengambil kira penilaian risiko susulan kes pertama Covid-19 yang dilaporkan pada 29 Ogos lalu.

“Sebelum ini satu daripada empat dapur termasuk Bayu Restoran ditutup berdasarkan penilaian risiko yang jangkitan hanya tertumpu di bahagian berkenaan.

“Selepas penularan membabitkan bahagian berlainan, pihak PKD mengarahkan keseluruhan premis ditutup  dua minggu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Suaibah, kesemua 109 pekerja mulai disaring hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri Ariffin Deraman berkata, sektor pelancongan di Terengganu yang kembali beroperasi 1 September lalu tidak terjejas dengan penutupan sementara Hotel Primula.

Katanya, pelancong masih mempunyai banyak pilihan untuk menginap di hotel dan resort lain, malah pemantauan lebih ketat akan terus dilakukan bagi memastikan semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN