TEMERLOH: Anak bekas anggota Parti Komunis Malaya (PKM) dikenali sebagai Sumilah, menyatakan rasa kagum dengan kemajuan dicapai Malaysia dan kehidupan harmoni rakyatnya yang berbilang kaum.
Sumilah, 60, yang kini dirawat di Hospital Union Beijing, China adalah anak perempuan komunis dikenali Mat Jamil Mat Elan yang meninggal dunia di Beijing dalam usia 80-an pada 2018.
Sempena Hari Malaysia, Sumilah menghantar ucapan Selamat Hari Malaysia kepada bapa saudaranya di negara ini, Datuk Ahamad Kamal Yahya dan menyatakan kerinduan untuk bertemu sanak-saudaranya di sini,
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Tokoh Warisan Orang Hidup Kebangsaan, Prof. Datuk Dr. Aripin Said berkata, beliau turut dimaklumkan oleh Ahamad Kamal tentang perasaan Sumilah yang rindu untuk berjumpa keluarga dan warisnya walaupun tidak pernah menjejakkan kaki di negara ini.
“Seperti dimaklumkan Ahamad Kamal kepada saya, Sumilah seolah-olah menyesal dengan perjalanan hidup keluarganya,” katanya di sini.
Bercerita tentang komunisme, Aripin berkata, perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM) bertitik noktah apabila berlangsungnya peristiwa bersejarah pada 2 Disember 1989 di Hatyai, selatan Thailand.
“Perpindahan pusat ‘pemerintahan’ komunis ke sempadan Thailand-Malaysia pada 1953 merupakan bibit-bibit PKM tewas dalam perjuangannya apabila orang Melayu menentang keras fahaman itu.
“Walaupun PKM menubuhkan unit khas orang Melayu yang dianggotai antaranya oleh Musa Ahmad, Shamsiah Fakeh, Abdullah Sidi, Wahi Ahmad dan lain-lain tetapi fahaman ini tetap ditolak,” katanya.
Beliau berkata, implikasi Perjanjian Damai Hatyai yang ditandatangani pada 2 Disember 1989 itu, ramai anggota komunis Melayu ditempatkan di selatan Thailand dan menjalani kehidupan baharu.
“Ada juga dalam kalangan mereka bermastautin di Beijing, China dan antara yang dikenali pasti ialah Mat Jamil yang meninggal dunia pada 2018,” katanya.
Tambah beliau, dengan termeterainya Perjanjian Damai Hatyai itu bermakna lenyaplah harapan PKM dan perjuangan untuk merampas kuasa serta menubuhkan sebuah negara Republik Komunis.
“Mereka gagal menguasai Tanah Melayu walaupun perjuangan komunis berjaya di beberapa negara lain. Kegagalan menguasai Tanah Jawi ini menjadi ‘pukulan maut’ terhadap ideologi komunisme,” katanya.
Beliau berkata, pengaruh fahaman komunisme banyak bertapak di Temerloh seperti Lubuk Kawah dan Sanggang yang membabitkan orang Melayu.
Jelasnya, Buku Menongkah Abad tulisan Ahamad Kamal berkaitan sejarah Temerloh boleh dijadikan rujukan generasi baharu.
“Buku ini adalah penulisan tentang catatan diari ayahanda penulis Yahya Mad Dahan, mantan Penghulu Mukim Songsang, Temerloh,” katanya. – UTUSAN ONLINE











