71 peratus kakitangan taska seluruh negara lengkap vaksin - Utusan Malaysia

71 peratus kakitangan taska seluruh negara lengkap vaksin

RINA Mohd. Harun (tengah) bertanyakan sesuatu kepada Pengerusi Taska Nur Idayu, Sabariah Ali di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor. - UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG : Sebanyak 71 peratus daripada jumlah keseluruhan 12,545 kakitangan Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) seluruh negara boleh memulakan tugas mereka apabila pusat jagaan tersebut dibenarkan beroperasi esok, selepas lengkap dua dos vaksin Covid-19. 

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berkata, ini bermakna masih terdapat 1,745 lagi kakitangan taska yang belum menerima vaksin, manakala seramai 1,853 kakitangan lagi baru mendapat suntikan dos pertama. 

“Bagaimanapun usaha terus dijalankan agar mereka mendapatkan vaksin bagi memastikan anak- anak dalam jagaan mereka terpelihara dan kita buat terbaik untuk keselamatan anak-anak,” katanya selepas mengadakan lawatan dan pemantauan taska yang  beroperasi dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan (PPN) di Taska Nur Idayu, Bandar Baru Salak Tinggi, hari ini.

Berkenaan dengan pelaksnaan Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu mengenai pembukaan taska, Rina berkata, ibu bapa juga diwajibkan menjalani pemeriksaan suhu badan apabila menghantar anak mereka di taska. 

“Jika dulu, semakan suhu badan terhadap anak-anak sahaja, tapi sekarang ibu bapa juga kita akan semak dan pastikan ibu bapa sudah vaksin atau tidak. 

“Semua kita rekodkan. Ini cabaran kepada pendidik dan pengusaha taska supaya pastikan SOP baharu ini terus dipatuhi. Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Kesihatan juga memantau dari semasa ke semasa,” katanya lagi.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kementerian mengenal pasti tujuh buah rumah sebagai tempat perlindungan kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19. 

Katanya, ia bertujuan menjadi tempat perlindungan kepada kanak-kanak yang tidak mempunyai waris lain dan tiada penjaga selain ibu bapa mereka.

“Dalam masa sama, kita juga sedang merangka  bentuk bantuan dari segi jangka panjang, bukan sahaja dari segi kewangan tetapi emosi dan motivasi serta bimbingan kaunseling untuk mereka teruskan kehidupan,” katanya. 

Kementerian Pendidikan sebelum ini mendedahkan, sejumlah 4,422 orang murid di negara ini kehilangan kedua-dua ibu bapa atau sama ada salah seorang ibu atau bapa yang meninggal dunia akibat pandemik Covid-19. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN