BUKIT MERTAJAM: Hanya tiga daripada 15 buah pasar awam termasuk sebuah kompleks penjaja yang ditutup sementara di Seberang Perai sebelum belum dibenarkan beroperasi sehingga kini.
Tiga pasar awam itu ialah Pasar Awam Kampung Baru dan Pasar Awam Permatang Tinggi dalam daerah Seberang Perai Tengah (SPT) serta Pasar Awam Taman Bagan di Seberang Perai Utara (SPU).
Ketika ini, terdapat sekurang-kurangnya enam kes positif Covid-19 dikesan di ketiga-tiga buah pasar awam terbabit yang dijangka dibuka semula Isnin atau Selasa ini jika tiada arahan lanjutan tempoh penutupan.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Rozali Mohamud berkata, ketiga-tiga pasar awam itu terpaksa ditutup sebagai langkah pencegahan awal dalam usaha membendung penularan pandemik selain bagi membolehkan kerja-kerja sanitasi dijalankan.
“Arahan penutupan dibuat bagi membantu Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) untuk menjalankan siasatan serta membuat penilaian risiko untuk tindakan selanjutnya.
“Bagaimanapun, seperti sebelum ini tempoh penutupan sementara ini juga tertakluk kepada arahan selanjutnya daripada pihak PKD,” katanya.
Terdahulu, beliau bersama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo meninjau proses sanitasi di Pasar Awam Taman Bagan di Butterworth.
Menurut Rozali lagi, MBSP akan memastikan hanya peniaga dan pekerja yang telah membuat ujian calitan dengan keputusan negatif, berisiko rendah serta telah selesai menjalani tempoh kuarantin dibenarkan membuka semula perniagaan mereka.
Sebanyak 305 kes membabitkan peniaga serta pekerja berkaitan di bawah seliaan MBSP telah direkodkan positif setakat ini daripada keseluruhan 2,673 ujian saringan yang dibuat. – UTUSAN