JOHOR BAHRU: Sebanyak 29 sungai di negeri ini dikategorikan tercemar dan berada dalam Kelas III serta IV mengikut Laporan Kualiti Alam Sekeliling Malaysia bagi tahun 2019 dikeluarkan Kementerian Alam Sekitar dan Air melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Laporan tahunan diteliti Utusan Malaysia itu turut menyenaraikan beberapa sungai di negeri lain yang tercemar, namun Johor mendominasi carta tersebut daripada 59 sungai dalam Kelas III dan ke atas.
Mengikut Jadual 2.4: Sungai Tercemar dan Kelas Kualiti Air, Keperluan Oksigen Biokimia (BOD), Pepejal Terampai (SS) dan Ammonikal Nitrogen terus punca kepada pencemaran sungai.
BOD yang tinggi kerap kali dikaitkan dengan pengolahan sisa kumbahan yang tidak berkesan atau akibat pelepasan efluen industri pengilangan dan berasaskan pertanian. Punca utama NH3-N pula dikaitkan dengan aktiviti penternakan dan kumbahan domestik manakala punca utama SS adalah kerja-kerja tanah dan aktiviti pembukaan tanah yang tidak teratur.
Daripada 29 sungai tersebut, 16 lembangan berada dalam Kelas IV iaitu hanya sesuai untuk saliran jika mengikut Standard Kualiti Air Kebangsaan (NWQS). Sungai-sungai terlibat antaranya Sungai Buluh; Sungai Masai; Sungai Perembi dan Sungai Tukang Batu di Pasir Gudang.
Bagi sungai-sungai Kelas III pula, empat sungai di Batu Pahat berada dalam kategori itu iaitu Sungai Batu Pahat; Sungai Panchor; Sungai Semberong dan Sungai Simpang Kanan, selain Sungai Singol (Endau), Sungai Latoh (Pasir Gudang), Sungai Segget dan Sungai Skudai.
Sementara itu, berdasarkan bacaan BOD, 15 sungai diklasifikasikan sebagai Kelas V iaitu sebagai paling tercemar dan tidak sesuai untuk kegunaan mengikut NWQS, manakala baki sungai lain berada dalam Kelas III atau IV.
Dari segi Ammonikal Nitrogen pula, 20 sungai berada dalam Kelas V, diikuti lapan sungai terletak di bawah Kelas IV dan hanya Sungai Air Baloi merekodkan Kelas II bagi bacaan itu. Bagi parameter SS, 20 sungai mencatatkan bacaan ‘baik’ kerana dikategorikan sebagai kelas I dan II.
Dalam pada itu, mengulas insiden pencemaran sungai yang sering kali terjadi di Johor, Pakar Kualiti Air dan Permodelan, Dr. Zaki Zainuddin berkata, kejadian tersebut bukan setakat memberi impak kepada alam sekitar tetapi lebih membimbangkan apabila ia melibatkan manusia.
“Apa yang berlaku adalah kesan bahan kimia yang meruap ke udara dan boleh menjejaskan manusia sehingga ada yang pengsan dan mengalami sesak nafas,” kata beliau.
Beliau berkata, dalam insiden di Kampung Baru Sri Aman, Kempas kelmarin, Sungai Tebrau yang terjejas sepanjang satu kilometer juga tidak berada dalam keadaan baik sebelum pencemaran itu berlaku.
“Dari situ, Sungai Tebrau yang sudah tercemar akan bertambah cemar dengan kehadiran bahan kimia yang setakat ini dikesan sebagai Methyl Alcohol atau dikenali juga sebagai Metanol, kehadiran bahan itu memang boleh menjejaskan hidupan air dan manusia,” katanya.- UTUSAN











