PETALING JAYA: Permodalan Nasional Berhad (PNB) telah menyampaikan surat tawaran Anugerah Biasiswa Luar Negara PNB 2021 kepada 24 penerima yang berjaya.
Dianggap sebagai antara program biasiswa paling berprestij di Malaysia, anugerah tersebut memberi peluang kepada pelajar yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pengajian di universiti terkemuka di United Kingdom, Amerika Syarikat dan Australia.
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, sebagai sebuah institusi yang diamanahkan dengan mandat sosial, PNB kekal konsisten memainkan peranan dalam pembangunan negara dengan usaha berterusan bagi melahirkan para pemimpin masa depan di Malaysia.
“Setelah menamatkan pengajian, para pelajar ini akan berpeluang menyertai PNB dalam usaha mencapai matlamat menjadi sebuah institusi pelaburan distingtif bertaraf dunia.
“Sejak program biasiswa kami diperkenalkan pada 1996, PNB telah menyumbang sejumlah RM341 juta untuk menaja lebih daripada 5,000 anak muda Malaysia yang berkelayakan,” katanya dalam kenyataan.
Kesemua pelajar terlebih dahulu akan mengikuti pengajian program A-Level selama dua tahun di Kolej Yayasan UEM (KYUEM) sebelum meneruskan pengajian ke peringkat sarjana muda dalam pelbagai bidang berkaitan dengan portfolio perniagaan PNB seperti perakaunan, kewangan, undang-undang, matematik, sains aktuari, sains komputer dan kejuruteraan.
Anugerah Biasiswa Luar Negara PNB merupakan komponen utama dalam inisiatif pengurusan bakat dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) PNB yang dirancang untuk memberi faedah secara langsung dan bermakna kepada pihak berkepentingan syarikat serta untuk memenuhi keperluan masyarakat.
Empat teras program CSR PNB adalah Pendidikan, Literasi Kewangan, Peningkatan Taraf Hidup Masyarakat dan Inisiatif Perkongsian Pengetahuan. – UTUSAN










