KANGAR: Sebanyak 13,000 kilogram sampah dikutip di sepanjang pesisir pantai Kuala Perlis sehingga Kuala Sanglang sejauh 13 kilometer setiap minggu dengan 80 peratus sampah terbabit melibatkan plastik seperti botol.
Data daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pahlawan Sampah Perlis itu jelas menunjukkan masih terdapat mentaliti kelas rendah dalam sesetengah masyarakat dan pelancong.
Pahlawan Sampah Perlis aktif menjalankan kerja-kerja sukarelawan mengutip sampah sejak dua tahun lalu kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Di lokasi-lokasi pelancongan utama di negeri ini, sebanyak 30.7 tan metrik atau 30,700 kilogram sampah telah dikutip sepanjang tempoh 2019 hingga 2021.
Ia melibatkan lokasi-lokasi seperti Bukit Ayer; Bukit Jernih; Empangan Timah Tasoh, Gua Sami; pesisir pantai Kuala Perlis dan banyak lagi kawasan-kawasan pelancongan lain.
Kutipan sampah tersebut membabitkan 70 program pembersihan melibatkan 2,653 sukarelawan termasuk 414 kanak-kanak yang mempunyai kesedaran terhadap usaha menjaga kebersihan dan alam sekitar.
Malah, pemerhatian Mingguan Malaysia di Pantai Padang Keria, Sungai Padang, antaranya mendapati himpunan sampah khususnya botol plastik memenuhi kawasan pesisir pantai itu.
Pemandangan seperti itu cukup menyakitkan mata dan hati memandangkan Kuala Perlis dan kawasan sekitar itu merupakan salah satu lokasi pelancongan di negeri ini.
Bercakap kepada wartawan, Ketua Pahlawan Sampah Perlis, Rosnani Nazri, 37, memberitahu, dalam jarak sekitar 500 meter sahaja di pesisir pantai Kuala Perlis, sebanyak 400 hingga 500 kilogram sampah ditemukan dan bayangkan berapa banyak sampah di sepanjang 13 kilometer laluan berkenaan.
Kata pensyarah kanan Teknologi Marin, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis itu, setiap minggu, pihaknya bersama para sukarelawan akan meluangkan masa mengutip sampah di lokasi-lokasi pelancongan di sekitar Perlis.
Katanya, kerja-kerja mengutip sampah setiap minggu itu konsisten dilakukan pertubuhan tersebut sejak dua tahun lalu, malah semakin mendapat sokongan dengan peningkatan jumlah sukarelawan menyertai aktiviti berkenaan atas kesedaran sendiri.
“Sampah-sampah ini tidak pernah habis apabila kita kutip akan ada lagi selepas itu. Di pesisir pantai di sini, ada sampah dihanyutkan dari laut, dari nelayan-nelayan, penduduk kampung dan sikap segelintir masyarakat sendiri yang membuang sampah semasa berkumpul di kawasan berkenaan.
“Malah ada yang membuang sampah di situ atas alasan tidak mempunyai tong sampah. Di celah-celah batu di pesisir pantai ini dipenuhi sampah. Masalah ini bukan baharu malah sudah puluhan tahun lalu dengan pemandangan seperti itu sungguh menyakitkan mata,” katanya.
Katanya, selain mencemarkan kawasan pelancongan, sampah tersebut juga boleh memberi ancaman kepada hidupan laut serta kepada kesihatan manusia.
“Malah, kita lihat daripada aspek kesihatan penyakit denggi di Kuala Perlis merekodkan antara paling tinggi. Itu antara kesan apabila kesedaran mengenai kebersihan tidak dititik beratkan apabila terlalu banyak sampah,” katanya.
Tambah Rosnani, antara jenis-jenis sampah tersebut seperti botol plastik, penyedut minuman, bekas polistrim isi ikan, bekas makanan, plastik pembungkusan makanan selain jala, besi, selipar dan pelbagai lagi.
“Kita mewujudkan pertubuhan ini bertujuan memberi kesedaran awam menjaga alam sekitar. Malah, sukarelawan kita pula terbuka kepada komuniti di Perlis. Setiap minggu, kita akan mengadakan program kutipan sampah di kawasan tumpuan pelancongan,” katanya.
Dalam pada itu, Rosnani berkata, tahap mentaliti rakyat di negara ini mengenai kepentingan menjaga kebersihan masih rendah jauh ketinggalan berbanding Jepun dan Singapura.
“Malah, kita juga ketinggalan dengan negara jiran seperti Thailand dan Indonesia meskipun kita negara kita lebih maju,” katanya. – UTUSAN










