Warga asing umpama ATM bergerak - Utusan Malaysia

Warga asing umpama ATM bergerak

MHO mendakwa sindiket jenayah pemerdagangan manusia aktif mengambil kesempatan mengugut warga asing yang mempunyai masalah dokumen perjalanan seperti passport dan pas kerja tidak lengkap. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO) mendedahkan, sindiket jenayah pemerdagangan manusia aktif mengambil kesempatan dengan mengugut warga asing yang ketakutan berikutan terpalit masalah dokumen perjalanan seperti passport dan pas kerja tidak lengkap.

Sindiket itu turut melibatkan segelintir anggota penguat kuasa berpangkat rendah, penyamar agensi penguatkuasaan dan ahli kongsi gelap.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hassim berkata, warga asing kini boleh diumpamakan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) bergerak, iaitu jalan pintas mendapatkan wang secara mudah dan pantas oleh pihak tidak bertanggungjawab ini.

Menurutnya, anggota sindiket tersebut meminta wang secara paksa daripada warga asing yang tiada dokumen perjalanan lengkap sekiranya tidak mahu diambil sebarang tindakan penguatkuasaan.

“Modus operandi sindiket adalah dengan mengugut untuk melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya warga asing enggan memberi kerjasama.

“Alasan yang digunakan oleh sindiket ini adalah warga asing tiada dokumen lengkap. Ugutan meminta wang ini boleh berlaku di tepi jalan, di tempat kerja dan lain-lain,” katanya dalam sesi temu bual dengan Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin melaporkan, sebanyak 1,854 kes pemerdagangan manusia membabitkan 10,463 mangsa direkodkan di negara ini sejak 2015 dan 70 peratus mangsa adalah wanita dan kanak-kanak.

Hishamuddin memberitahu, pihaknya menerima sebanyak 30 hingga 40 panggilan aduan sebulan daripada warga asing yang berdepan masalah, sementara jumlah panggilan harian meningkat antara tiga atau empat panggilan sejak pandemik Covid-19 menular.

Tambahnya, segelintir mangsa turut menjadi mangsa cabul dan seks sehingga menyebabkan fobia serta ketakutan untuk meminta bantuan daripada pihak penguatkuasa.

“Sesetengahnya berani tampil menghubungi kami, namun masih ramai mangsa berdiam diri kerana telah diugut dengan pelbagai cara termasuk akan ditangkap pihak berkuasa dan dihantar pulang ke negara asal sekiranya mendedahkan maklumat,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menggesa kerajaan mewujudkan satu mekanisme yang boleh melindungi mangsa atau pemberi maklumat.

“Salah satunya adalah dengan memberi ganjaran berupa pemberian pas kerja secara sah selama satu tempoh yang difikirkan berpatutan dalam sektor terpilih kepada pemberi maklumat yang merupakan mangsa.

“Dengan cara ini, kita akan dapat tangkap jerung atau kartel jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran,” ujarnya.

Beliau memberitahu, MHO juga menyediakan talian hotline bagi memberikan khidmat kaunseling guaman percuma kepada mereka yang memerlukan, iaitu 011-29050000. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×