(VIDEO) Dadah dalam 'teh cina' bernilai RM6.624 juta dirampas - Utusan Malaysia

(VIDEO) Dadah dalam ‘teh cina’ bernilai RM6.624 juta dirampas

ABDUL Latif Abdul Kadir menunjukkan bungkusan teh yang mengandungi bahan kristal jernih disyaki dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 184 kilogram dalam sidang akhbar di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM, Kampung Jijan, Nilai, Seremban hari ini. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) melumpuhkan sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang menggunakan taktik menyembunyikan dalam bungkusan ‘teh cina’ dengan rampasan sebanyak 184 kilogram dadah dianggarkan bernilai RM6.624 juta.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, kegiatan sindiket tersebut terbongkar selepas pemeriksaan ke atas 14 kotak yang hendak dieksport ke luar negara dikesan mengandungi 184 bungkusan teh dengan bahan kristal dipercayai dadah jenis methamphetamine (syabu).

“Sepasukan anggota kastam daripada Cawangan Ibu Narkotik Ibu Pejabat JKDM membuat pemeriksaan ke atas kotak-kotak tersebut di Kompleks Kargo Udara (KLIA) pada pukul 5.40 petang, 16 Ogos lalu.

“Bagi mengaburi pihak berkuasa, barang dagangan itu diisytiharkan sebagai alat perkakasan dapur elektrik dan dipercayai hendak dieksport ke negara Asia Pasifik,” katanya dalam sidang akhbar di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM di Kampung Jijan, Nilai di sini hari ini.

-Video Oleh Nor Shafawati Yup

Jelas Abdul Latif, dua lelaki tempatan masing-masing berusia 35 dan 43 tahun yang cuba menyeludup dadah tersebut  ditahan untuk siasatan lanjut.

“Susulan daripada tangkapan itu, JKDM membuat serbuan di rumah berasingan di Nilai dan menahan dua lagi lelaki tempatan berusia 42 dan 45 tahun yang dipercayai menjadi dalang sindiket dadah itu.

“Hasil siasatan mendapati, sindiket dadah tersebut dikesan 11 kali menyeludup dadah ke luar negara dipercayai menggunakan modus operandi sama,” katanya yang memberitahu dadah tersebut diperoleh daripada pasaran tempatan.

Tambah beliau, kesemua suspek telah ditahan reman selama 14 hari hingga 30 Ogos ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya