Tiong Nam peruntuk capex RM336.4 juta - Utusan Malaysia

Tiong Nam peruntuk capex RM336.4 juta

Pelan perluasan itu akan mengukuhkan kedudukan Tiong Nam. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiong Nam Logistics Holdings Berhad (Tiong Nam) merancang memperuntukan perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM336.4 juta bagi mengembangkan kapasiti gudangnya, untuk memenuhi permintaan segmen perkhidmatan logistik dan pergudangan yang semakin meningkat.

Dalam usaha tersebut, anak syarikatnya, Tiong Nam Logistic Solutions Sdn. Bhd. telah memeterai perjanjian jual beli dengan Senai Airport City Sdn. Bhd. bagi memiliki dua bidang tanah seluas kira-kira 62.6 ekar di Zon Perdagangan Bebas, Senai Airport City berharga kira-kira RM136.4 juta.

Tion Nam merancang untuk membina sebuah gudang baharu berkeluasan 1.1 juta kaki persegi di atas tanah berkenaan, dengan anggaran kos RM200 juta.

Jelasnya, pembiayaan adalah melalui sumber dalaman dan pinjaman bank.

“Dengan rancangan pembinaan gudang baharu itu, jumlah kapasiti gudang Kumpulan akan meningkat daripada enam juta kaki persegi 31 Mac lalu kepada 7.3 juta kaki persegi pada 2023,” kata syarikat itu dalam kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Tiong Nam, Ong Yoong Nyock berkata, pelan perluasan itu akan mengukuhkan kedudukan syarikat dari segi jumlah kapasiti pergudangan di Malaysia.

Beliau berkata, pengembangan perniagaan Kumpulan susulan tambahan gudang melalui pengambilalihan VM Andaman baru-baru ini, berikutan permintaan yang meningkat dalam segmen logistik dan pergudangan membabitkan barangan keperluan asas, di sebalik norma bekerja dari rumah (WFH).

“Kami juga menerima semakin banyak perniagaan yang ingin melakukan penyumberan luar fungsi pergudangan dan logistik kepada penyedia penyelesaian menyeluruh yang boleh dipercayai.

“Pengembangan ini tepat pada masanya dan akan meningkatkan keupayaan kami dalam merebut peluang pertumbuhan, seiring dengan jangkaan kemajuan jangka panjang ekonomi Malaysia dan rantau Asia Tenggara,” katanya.

Pada 9 Jun lalu, syarikat mengumumkan pengambilalihan VM Andaman Sdn. Bhd, (VM Andaman) bersekali dengan aset pergudangannya bersaiz 0.2 juta kaki persegi terletak di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor. Pengambilalihan itu dijangka selepas pada September ini.

Bagi rancangan pembangunan gudang baharu di Senai Airport City, katanya, Kumpulan akan meyerahkan pelan pembangunan kepada pihak berkuasa tempatan tahun ini juga dengan sasaran pelaksanaan selesai pada separuh kedua 2023. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN