Tauke resort Pulau Redang tunggu dibenar operasi - Utusan Malaysia

Tauke resort Pulau Redang tunggu dibenar operasi

SUASANA di pasir panjang di Pulau Redang yang sunyi susulan penutupan sektor pelancongan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Persatuan Resort-resort Pulau Redang terus menunggu lampu hijau kerajaan Pusat kemungkinan sektor pelancongan di negeri ini dibenarkan beroperasi semula pada bulan depan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, setiausahanya, Lim You Jing berkata, kesemua 10 ahli persatuan bersedia membuka perniagaan masing-masing bagi membolehkan mereka kembali bernafas selepas terkesan teruk akibat pandemik Covid-19.

Menurut beliau, pembukaan pada bulan depan tepat kerana kesemua 517 penggiat pelancongan di pulau peranginan itu bakal menerima dos kedua vaksin Covid-19 pada 20 dan 21 Julai ini.

“Sebenarnya pengusaha dan pekerja resort sudah bersedia untuk menyambut kedatangan pelancong bulan depan jika sektor pelancongan dibuka.

“Kami sangat berharap agar kerajaan dapat memberi kelonggaran kepada individu yang melengkapkan dua dos vaksinasi Covid-19 untuk merentas negeri termasuk bagi tujuan melancong kerana tanpa kehadiran pengunjung, perniagaan kami tidak boleh bernafas,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Terdahulu dilaporkan, Bukit Fraser di Raub bakal beroperasi semula pada 8 Ogos ini sekali gus menjadi tarikan pertama di Pahang yang dibuka bagi memenuhi konsep gelembung pelancongan.
Dalam perkembangan sama, You Jing berkata, orang ramai tidak perlu bimbang dengan situasi musim tengkujuh melanda negeri ini pada hujung tahun, sebaliknya kunjungan masih boleh terus dibuat walaupun pada bulan Oktober dan ke atas.

Dia yang juga pemilik Resort Redang Bay berkata, pelbagai aktiviti menarik sudah dirangka buat tetamu dengan menumpukan kepada pengisian di darat termasuk senaman, pendakian mahu pun trek hutan.

“Sebenarnya tidak ada masalah untuk kesemua resort di Pulau Redang beroperasi hingga akhir tahun kerana sepanjang menguruskan perniagaan keluarga sejak beberapa tahun lalu saya dapati monsun kebiasaannya bermula pada pertengahan Disember.

“Cuma pada musim tengkujuh fokus utama kita tidak tertumpu pada aktiviti laut atas faktor cuaca dan pelanggan boleh mengisi masa mereka dengan aktiviti bersenam atau trek hutan selain bersantai di sekitar resort,” katanya.

Menurut You Jing, sebelum ini resort miliknya itu mampu menampung seramai 370 tetamu, namun kini jumlah pengunjung terhad kepada 200 orang dalam satu-satu masa bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk soal penjarakan fizikal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN