Takiyuddin masih kekal dalam Kabinet - Utusan Malaysia

Takiyuddin masih kekal dalam Kabinet

MOHD. Khairuddin Aman Razali (tiga dari kiri) bergambar bersama Wee Jeck Seng ketika melawat PPVIN Olak Lempit Banting hari ini. - UTUSAN / ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Seri Takiyuddin Hassan tidak akan meletakkan jawatan walaupun berhadapan kritikan teruk berhubung makluman pembatalan Ordinan Darurat dalam Parlimen pada 26 Julai lalu.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, Setiausaha Agung Pas itu juga dilaporkan tidak akan ditukarkan portfolio dalam Kabinet Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Beliau kekal sebagai Menteri Insya Allah dan kita buat apa yang perlu untuk rakyat dan negara,” katanya ringkas.

Mohd. Khairuddin berkata demikian ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) di Olak Lempit hari ini yang hadir sama ialah Timbalannya, Datuk Seri Dr.Wee Jeck Seng.

Terdahulu Takiyuddin didakwa menawarkan diri melepaskan jawatanseperti didakwa laporan sebuah portal berita pada 29 Julai lalu selepas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita terhadap pengumuman pembatalan Ordinan Darurat yang dikatakan berkuat kuasa pada 21 Julai lepas.

Portal berkenaan turut mendakwa Takiyuddin sudah memaklumkan hasrat tersebut kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

 Namun lapor portal itu lagi, Takiyuddin diminta merujuk keputusan tersebut kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terlebih dahulu.

Mengulas mengenai pembatalan Ordinan Darurat, Mohd. Khairuddin memaklumkan Kabinet sudah bersetuju untuk membatalkannya.

“Di peringkat Kabinet kita telah memberikan pandangan membuat keputusan untuk membatalkan (revoke) dan kita telah serahkan kepada Seri Paduka untuk  proses seterusnya.

“Ini adalah keputusan sebulat suara Kabinet (collective decision) dan bukannya tindakan seorang menteri,” jelasnya.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu dimasukkan ke hospital pada Jumaat lalu dan selamat menjalani pembedahan jantung.

Sumber memberitahu, ia dipercayai akibat masalah kesihatan jantung Takiyuddin sehingga terpaksa menjalani pembedahan tiga jam.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN