BALING: “Tiada perkataan lain untuk diucap melainkan syukur kerana diberi peluang terus hidup.”
Itulah luahan Mohd. Muslim Saari, 36, mangsa yang terselamat dalam kejadian kepala air di Gunung Jerai Rabu lalu.
Tragedi itu berlaku ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumah sewanya selepas bertugas di Taman Puteri Lagenda, Gurun di sini.
Sebelum itu kejadian pukul 3.40 petang, Muslim bersama tiga rakan sekerja menunggang motosikal masing-masing dan seorang lagi rakan menaiki kereta Proton Pesona.
“Kami baru selesai kerja syif pagi dan ketika itu hujan lebat dan sebaik melepasi Muzium Jabatan Perhutanan di Kilometer 8, tiba-tiba tanah runtuh diikuti dengan arus deras menghanyutkan saya dan rakan, Sharuzi Mohammad, 54.
“Saya tergolek dibawa arus lebih satu kilometer di lereng bukit bagaimana pun sempat berpaut pada pagar tangki air, manakala Sharuzi yang turut dihanyutkan arus tidak kelihatan,” kata pekerja landskap di Regency Jerai Hill Resort.
Muslim berkata demikian ketika ditemui di Kampung Mengkuang Hujung, Kuala Pegang di sini semalam.
Muslim memberitahu, selepas itu dia memeluk sebatang pokok untuk mengelakkan terus dihanyutkan arus selain tidak henti-henti berzikir.
“Saya diselamatkan oleh anggota bomba yang tiba ke lokasi kejadian sebelum dihantar ke Hospital Yan dan kemudian diberikan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar kerana patah bahu dan tangan,” katanya yang belum berkahwin.
Dia mengambarkan kejadian tersebut paling menakutkan dalam hidupnya kerana hampir-hampir hilang nyawa.
Bagaimanaun, dia sedih Sharuzi ditemui meninggal dunia.
“Kesihatan saya semakin pulih dan diberikan curi rehat sehingga 1 September oleh majikan namun trauma kejadian masih menghantui diri,” katanya. – UTUSAN