SEREMBAN: Melihat kesan pandemik Covid-9 yang semakin besar, pentadbiran sekolah yang bakal menerima semula pelajar di sekolah mulai September ini, bukan sahaja perlu bersedia dengan strategi pembelajaran semata-mata sebaliknya turut bersedia menerima mereka yang mungkin terjejas dari segi emosi akibat wabak tersebut.
Ia termasuk pelajar dan murid yang terkesan dari aspek psikologikal dan emosi apabila berlaku kematian ahli keluarga terutamanya ibu atau bapa akibat wabak selain isu berkaitan masalah kewangan dihadapi dalam keluarga pelajar terbabit.
Angka jangkitan harian Covid-19 semalam sekali lagi memecah rekod baharu dengan 19,819 kes dengan angka kematian pula kini menghampiri 10,000 kes.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Profesor Kaunseling Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Datin Dr. Sapora Sipon berkata, kehilangan atau kematian individu disayangi menyumbang kepada antara tahap stres paling tinggi dalam skala stress Holmes dan Rahe.

Oleh itu, menurut beliau, sudah tentu pelajar terbabit tidak terkecuali daripada menghadapi kesan psikologikal dan emosi seperti sindrom penafian, kemarahan, kesedihan dan kemurungan.
“Kesan kehilangan tersebut tentu mengubah struktur keluarga terutama apabila ia melibatkan kematian ketua keluarga.
“Jika pelajar kehilangan individu yang menanggung dan menyara keluarga, kesannya akan berganda dan kesan tersebut berterusan ke sekolah,” kata beliau ketika dihubungi semalam.
Kata Sapora, faktor kewangan atau kasih sayang yang membabitkan sesebuah keluarga sudah tentu akan mempengaruhi anak-anak yang masih pelajar.
“Daripada permasalahan di rumah tersebut, ia mengheret sampai ke sekolah dan sebab itu menjelang pembukaan semula sesi pembelajaran secara bersemuka guru-guru atau pihak pentadbiran sekolah juga perlu bersedia membantu pelajar-pelajar terbabit,” kata beliau.
Justeru, Sapora menyarankan, dalam tempoh tidak sampai sebulan sekolah dibuka semula, pihak sekolah perlu mempunyai perancangan yang baik untuk mempersiapkan diri bagi menerima pelajar yang terkesan dengan isu-isu tersebut.
“Dari segi emosi, guru dan rakan-rakan sekolah perlu bersifat empati selain perlu sentiasa memberi sokongan kepada pelajar yang tidak atau kurang bernasib baik akibat pandemik ini.
“Perkhidmatan kaunseling memang disediakan di sekolah dan kaunselor sekolah memang terlatih dan beretika dalam mengendalikan kes pelajar yang terkesan.
“Pihak sekolah boleh juga mewujudkan tabung kewangan khusus untuk membantu pelajar yang menghadapi masalah kewangan, dalam hal ini Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga boleh membantu,” kata beliau.
Mengulas lanjut, kata Sapora, masa yang diambil untuk sembuh akibat permasalah tersebut pula bergantung kepada tahap peringkat kesedihan Kubler Ross yang berkaitan dengan perasaan marah, rasa bersalah dan murung seseorang itu.
“Ia juga bergantung sama ada berlakunya sokongan emosi daripada orang-orang yang dekat dengan pelajar tersebut. Kurangnya timbul isu seperti masalah kewangan juga sedikit sebanyak boleh cepat melegakan perasaan kesedihan pelajar itu,” katanya.
Selain itu, kata beliau, ada juga pelajar yang melihat kematian dari perspektif agama dan mereka dalam golongan itu dapat menerima kenyataan bahawa setiap yang hidup pasti akan menemui kematian mendorong mempercepatkan pelajar terbabit menerima hakikat.
“Justeru, aspek keagamaan setiap pelajar dalam hal-hal sukar tersebut turut membantu memulihkan kesedihan kerana menganggap kematian orang yang tersayang adalah satu bentuk ujian dalam kehidupan,” jelasnya.- UTUSAN











