PETALING JAYA: Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein akan membantu Perdana Menteri yang baharu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi apa jua kapasiti yang ada demi kepentingan negara tercinta.
Jelas Bendahari Agung Barisan Nasional (BN) itu, kestabilan negara merupakan perkara penting yang diperlukan pada ketika ini khususnya membolehkan negara kembali pulih daripada Covid-19.
“Saya telah sebut beberapa hari lepas, perkara terpenting yang negara perlukan ketika ini ialah kestabilan. Ia demi membolehkan negara kembali menumpukan terhadap usaha menangani krisis Covid-9, memulihkan ekonomi serta membela kesejahteraan rakyat.
“Insya Allah, saya akan bantu sebaiknya menerusi apa jua kapasiti yang saya ada demi kepentingan negara tercinta. Selamat menjalankan amanah Datuk Seri, Semoga Allah merahmati ketentuan ini. Amin Ya Rabbal Alamin,” katanya dalam hantaran Facebook beliau hari ini.
Terdahulu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri yang baharu.
Perkara itu dimaklumkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini. (UTUSAN ONLINE)










