KPWKM giatkan usaha galak mangsa gangguan seksual tampil buat aduan

KPWKM giatkan usaha galak mangsa gangguan seksual tampil buat aduan

LIM Hui Ying ketika ditemui pemberita selepas Pesta Durian Tanjong 2026 di George Town, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) kini sedang menggiatkan usaha untuk menggalakkan mangsa-mangsa yang mengalami gangguan seksual tampil membuat aduan kepada pihak tribunal.

Timbalan Menterinya, Lim Hui Ying berkata, kebanyakan mangsa sebenarnya masih takut untuk berbuat demikian disebabkan kurangnya kesedaran selain enggan berdepan dengan stigma yang sering dikaitkan dengan kes-kes seperti itu

“Ya, kita akui bahawa tidak sampai 100 kes dalam masa dua tahun (sejak 2024) sebenarnya agak rendah. Oleh itu, KPWKM cuba sedaya upaya untuk meningkatkan jumlah aduan itu melalui pelbagai kempen berkaitan yang dijalankan secara berterusan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tanjong ditemui pemberita pada Pesta Durian Tanjong 2026 yang turut dihadiri oleh beberapa pemimpin setempat termasuk veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang di sini, petang tadi.

LIM Hui Ying (tiga dari kanan) ketika menghadiri Pesta Durian Tanjong 2026 di George Town, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD

Hui Ying berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejayaan Tribunal Antigangguan Seksual (TAGS) menyelesaikan 80 daripada 99 aduan berkaitan gangguan seksual dalam masa 60 hari dari hari pertama pendengaran iaitu sejak tribunal itu ditubuhkan pada 8 Mac 2024.

Mengulas lanjut, Hui Ying berkata, TAGS juga telah memperkenalkan sistem aduan dalam talian bermula Januari lalu selain mempunyai ahli-ahli panel di seluruh negara untuk memudahkan mangsa yang mengalami gangguan seksual membuat aduan.

“Sebenarnya, tempoh 60 hari itu adalah KPI (Petunjuk Prestasi Utama) kita untuk selesaikan satu-satu aduan selepas prosiding kes bermula.

“Bagi mangsa kanak-kanak pula, mereka boleh memberikan keterangan dari bilik berasingan melalui siaran video secara langsung tanpa perlu berhadapan secara terus dengan panel,” ujar beliau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN