Bangkitlah Nadeera, sayangi bakatmu - Utusan Malaysia

Bangkitlah Nadeera, sayangi bakatmu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kalau sebut nama Nadeera, pasti ramai masih mengingati impak besar yang ditinggalkan menerusi lagu Bukan Lagi Kita. Lagu itu bukan sahaja menjadi siulan ramai, malah berjaya mengangkat namanya sebagai antara penyanyi wanita yang memiliki vokal mantap dan penuh emosi dalam industri muzik tempatan.

Namun, sejak kebelakangan ini, Cik Bunga perasan semakin ramai netizen mula bertanya soalan yang sama. Ke mana perginya Nadeera? Dan lebih penting, mengapa sehingga kini masih belum ada lagu baharu yang benar-benar mampu menyambung momentum kejayaan yang pernah dikecapinya?

Bukan mahu menimbulkan spekulasi bukan-bukan, tetapi ada benarnya apabila segelintir pemerhati industri berpendapat perjalanan seni Nadeera seolah-olah terhenti di tengah jalan.

Selepas Bukan Lagi Kita meledak, ramai menjangkakan penyanyi berbakat besar itu akan terus melancarkan karya demi karya bagi mengukuhkan kedudukannya dalam industri.

Aura yang pernah begitu menyerlah seakan semakin pudar ditelan arus kemunculan artis baharu yang tidak putus-putus mencuri perhatian.

Malah, di media sosial juga mula kedengaran suara-suara yang meluahkan kebimbangan. Ada berpendapat Nadeera memiliki pakej lengkap sebagai penyanyi, daripada vokal yang kukuh hinggalah kemampuan menyampaikan lagu dengan penuh penghayatan.

Namun, bakat semata-mata tidak cukup jika tidak disokong dengan strategi kerjaya yang tepat dan kesinambungan karya yang konsisten.

Tidak kurang juga yang mula melabelkan Nadeera sebagai ‘calon’ one hit wonder. Jangan marah. Mungkin istilah itu agak keras untuk diberikan pada ketika ini, namun itulah realiti dunia hiburan.
Industri muzik bergerak pantas dan kejayaan hari ini belum tentu menjamin relevansi pada hari esok.

Apa yang menghairankan ramai Nadeera sebenarnya berada pada kedudukan yang cukup baik selepas kejayaan besar yang diraih. Momentum sudah ada, sokongan peminat juga kuat. Tetapi entah di mana silapnya, langkah seterusnya dilihat tidak menjadi seperti diharapkan.

Adakah berlaku kesilapan dalam pemilihan lagu? Adakah strategi pemasaran kurang menjadi? Atau mungkin ada faktor dalaman yang tidak diketahui umum? Hanya pihak yang terlibat mempunyai jawapannya.

Apa pun, Cik Bunga percaya masih terlalu awal untuk menutup buku perjalanan seni Nadeera. Dengan bakat yang dimilikinya, pintu untuk bangkit semula sentiasa terbuka luas.

Cuma, jika terlalu lama membiarkan peminat menunggu tanpa sebarang karya yang benar-benar kuat, tidak mustahil persoalan yang sedang hangat diperkatakan hari ini akan terus menjadi tanda tanya besar dalam kariernya.

Sayang jika bakat sehebat itu sekadar dikenang menerusi satu lagu yang pernah menjadi fenomena. Peminat pastinya mahu melihat Nadeera kembali menyerlah dan membuktikan dia bukan sekadar hadir untuk satu musim, tetapi mampu bertahan sebagai antara nama besar dalam industri muzik tanah air.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN