Tidur atas pokok lari dari Jepun - Utusan Malaysia

Tidur atas pokok lari dari Jepun

SHEIKH HUSSIN Sheikh Jaafar menunjukkan gambarnya ketika menjadi jurulatih Askar Melayu di Port Dickson, Negeri Sembilan pada 5 April 1952.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Bekas Askar Melayu Batalion Pertama dan anggota Force 136, Sheikh Hussin Sheikh Jaafar, 94, mungkin satu-satunya bekas tentera dua pasukan itu yang masih hidup di negara ini.

Beliau yang dilahirkan di Kampung Parit Tengah, Pekan dekat sini pada 12 Jun 1926 menjadi individu yang melakar peristiwa penting negara semasa zaman Jepun dan komunis bermaharajalela di Tanah Melayu.

Menyorot kemasukannya dalam Force 136, Sheikh Hussin berkata, pada usianya 15 tahun ketika Jepun menjajah Tanah Melayu pada 1941, dia dipaksa ke sekolah Jepun dan menyanyi lagu memuja matahari.

“Saya lari tetapi ditangkap dan dimasukkan ke Pusat Latihan Tentera Jepun Gai-Gun selama lima bulan. Di situ saya lari lagi dan ditangkap dan tempatkan di Bukit Besi, Dungun tempat tahanan askar British, Melayu dan Punjabi untuk dijadikan buruh paksa.

“Beberapa minggu di Bukit Besi di bawah kawalan ketat askar Jepun, saya bersama tiga rakan Syed Omar, Bidin dan Yusuf lari menyusup di bawah pagar kawat duri waktu malam ketika hujan lebat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Paya Pulai, di sini semalam.

Bercerita lanjut, Sheikh Hussin berkata, selama tiga minggu dalam hutan, dia dan tiga rakannya tidur di atas pokok untuk mengelak binatang buas dan makan umbut bayas serta minum air dari akar kayu.

Menurutnya, semasa berjalan dalam hutan tanpa hala tuju itu, mereka ditangkap pasukan dikenali Force 136 dan dibawa ke Raub, dekat sini.

“Selepas itu bermulalah episod pembabitan aktif saya dalam Force 136 sebagai penyiasat sehinggalah Jepun menyerah kalah dalam peperangan Dunia Kedua pada 2 September 1945,” katanya.

Tambahnya, antara anggota Force 136 ialah Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, seorang pegawai tadbir Melayu yang akhirnya menjadi Perdana Menteri kedua dan digelar sebagai Bapa Pembangunan.

Beliau berkata, sebelum keluar ke hutan, mereka diminta bergambar bersama Kolonel Pemerintah Kehormat Pasukan Force 136 waktu itu, Al-Marhum Sultan Sir Abu Bakar Riayatuddin Muadzam Shah iaitu nenda Yang di-Pertuan Agong ketika ini.

Menurutnya, pada 11 Oktober 1948, ketika berusia 22 tahun dia mengikuti latihan tentera di Port Dickson, Negeri Sembilan selama setahun.

Beliau yang dikenali dengan panggilan Pak Sheikh berkata, setelah tamat latihan di situ, dia ditempatkan dalam B Kompeni Batalion pertama bertugas di Kem Taiping, Perak dan kembali semula ke Port Dickson sehingga bersara lapan tahun kemudian.

“Saya boleh dianggap sebagai sejarah ‘orang hidup’ yang melalui liku-liku perjuangan menentang Jepun dan komunis serta boleh menceritakan kisah sebenar yang perlu diketahui generasi baharu,” katanya.

Menurutnya, antara peristiwa masih segar diingatannya adalah sebuah bas dibakar komunis setelah barangan dirampas di Gerik, Perak dan platun diketuai Sarjen Mior Ahmad menaiki kenderaan diserang hendap di satu selekoh.

Tambah beliau, pasukan bantuan tidak dapat ke lokasi kejadian kerana dihujani peluru komunis dan pertempuran di situ berlaku dua hari menyebabkan tiga komunis maut.

Beliau menambah, antara kenangan pahit pasukannya yang diketuai Kapten Ab.Hamid ialah dikepung komunis di Gunung Kerbau menyebabkan beberapa rakan seperjuangan terkorban.

Tambahnya, satu lagi peristiwa bersejarah yang dicatat sebagai sejarah hitam negara ialah peristiwa pembunuhan Pesuruhjaya Tinggi Malaya, Sir Henry Gurney dalam serangan hendap di Bukit Fraser dekat sini pada 7 Oktober 1951.

Berikutan itu, ujarnya, pasukan B Komponi diarah membuat operasi selama 50 hari bagi memburu komunis dalam hutan dengan dibantu tentera Australia.

“Negara ini makmur dan maju bukan datang secara bergolek tetapi hasil perjuangan dengan darah, air mata, rindu dendam dan keringat para pejuang terdahulu yang sebahagian besar tidak dapat menikmati hasilnya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×