ARAU: Selepas menanggung kerugian ratusan ribu ringgit dalam tempoh beberapa bulan lalu kerana tidak beroperasi, kini pengusaha kedai pakaian bagaikan mendapat ‘nafas baharu’ selepas kerajaan mengumumkan negeri itu beralih ke fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula esok.
Tidak mahu memikirkan kedukaan lalu, mereka tekad bangkit berusaha lebih keras bagi mengumpul kembali pendapatan yang terjejas teruk sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.
Untuk kembali kepada asal, para pengusaha kedai pakaian memaklumkan mereka memerlukan tempoh setahun dan dalam masa sama berharap tidak ada lagi sekatan untuk menjalankan perniagaan.
Seorang pemilik kedai pakaian wanita dan kanak-kanak di Kompleks Tok Arau di sini, Shukeri Seman,49, berkata, dia cukup lega apabila sektor ekonomi kembali dibenarkan dalam fasa ketiga PPN.
Katanya, sepanjang beberapa bulan kedai kena tutup, dia mengalami kerugian lebih RM100,000 selain terpaksa membayar sewa premis sebanyak RM3,000 sebulan dalam keadaan tidak menjana pendapatan.
“Selepas kedai kembali beroperasi, suasana mungkin tidak sama seperti menjalankan perniagaan sebelum ini kerana mungkin ramai orang masih takut untuk keluar rumah.
“Jadi, kami memerlukan tempoh sekurang-kurangnya setahun untuk kembali pulih kepada asal. Saya harap lepas ini, jangan tutup lagi kedai kerana ia cukup memberi kesan kepada para peniaga pakaian seperti kami,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kelmarin akhbar ini melaporkan, lebih 3.27 juta penduduk di Perlis, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan menarik nafas lega apabila diberi ‘kebebasan’ melalui peralihan fasa tiga PPN ssusulan merekodkan prestasi baik berkaitan Covid-19.
Perlis negeri terawal beralih kepada fasa 2 pada 5 Julai lalu, manakala Sarawak pada 14 Julai dan Wilayah Persekutuan Labuan terus ke fasa 3.
Tambah Shukeri, antara langkah akan diambil dalam mempertingkatkan jualan adalah dengan memperhebatkan promosi pakaian di kedainya itu.
“Kami sangat lega apabila sektor ekonomi kembali dibenarkan, jika dua atau tiga bulan lagi tidak dibenarkan beroperasi, kami mungkin ‘bungkus’,” katanya.
Seorang lagi pengusaha kedai pakaian, Muhammad Haderi Che Mohd Noor,32, berkata, pembukaan semula sektor ekonomi memberi nafas baharu kepada mereka selepas terkesan teruk sebelum ini.
“Sepanjang kedai ditutup, gaji pekerja, sewa kedai perlu dibayar tanpa menjana sebarang pendapatan. Kami harap lepas ini, kedai tidak lagi ditutup memandangkan sejak tahun lalu beberapa kali kedai terpaksa ditutup,” katanya.- UTUSAN











