Pemimpin UMNO dalam kerajaan perlu beri tumpuan laksana mandat, amanah rakyat - Utusan Malaysia

Pemimpin UMNO dalam kerajaan perlu beri tumpuan laksana mandat, amanah rakyat

MOHD. REDZUAN Md Yusof (tengah) dan Roslan Wahab (kiri) pada majlis Pemakaian Vest Pemerkasaan Komuniti dan Pangkat APM di Georgetown, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Pemimpin UMNO terutama yang berada di dalam barisan Kabinet  seharusnya memberi tumpuan untuk melaksanakan mandat yang telah diberikan kepada mereka oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN). 

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md Yusof berkata, pemimpin berkenaan wajar bersama-sama dengan kerajaan hari ini dalam membantu pengurusan pandemik Covid-19 dan ekonomi yang disifatkan amat membimbangkan ketika ini.

Jelas Ahli Parlimen Alor Gajah berkenaan, tumpuan ketika ini juga seharusnya difokuskan kepada amanah yang telah diberikan berbanding memberi perhatian kepada soal politik. 

“Buat masa ini sama-samalah kita bantu menambah baik (usaha kerajaan) sekiranya ada kekurangan yang perlu, kita bekerja keras dengan kerajaan sedia ada,” katanya. 

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) ditemui pemberita selepas menghadiri sesi taklimat dan majlis Pemakaian Vest Pemerkasaan Komuniti dan Pangkat Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pulau Pinang di sini hari ini. 

Yang turut hadir Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab. 

Mengulas lanjut Mohd. Redzuan berkata, beliau memahami pendirian sesetengah pemimpin UMNO yang memilih untuk mentaati keputusan serta pemimpin parti itu dan meninggalkan kerajaan PN. 

Jika mereka ini mementingkan diri sendiri atas sebab untuk mereka lebih mentaati hierarki politik daripada melunaskan tanggungjawab bersama kerajaan, maka saya tidak dapat komen banyak,” katanya. 

Sementara itu ditanya mengenai dakwaan Ahli Parlimen DAP kononnya terdapat cubaan PN untuk ‘membeli’ mereka, Mohd. Redzuan berkata, sesiapa pun boleh membuat tuduhan itu dan beliau memilih untuk tidak mencampuri perkara tersebut.

Jelasnya, perkara itu juga terpulang kepada jati diri individu yang berkecimpung di dalam politik yang mana mereka tidak seharusnya menggadaikan atau ‘berniaga’ semata-mata untuk kepentingan diri. 

“Apa yang penting kami akan terus menjalankan tanggungjawab menguruskan kerajaan sedia ada dan kita tunggu seperti apa yang ditetapkan kerajaan untuk mengadakan undi percaya apabila Parlimen dibuka,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN