Pasar Chabang Tiga meriah dengan Jalur Gemilang - Utusan Malaysia

Pasar Chabang Tiga meriah dengan Jalur Gemilang

NIK Mohd. Fariz Nik Sabri, 10, (tengah) lengkap berpakaian seragam Jalur Gemilang membantu keluarganya berniaga di Pasar Chabang Tiga, Terengganu, yang turut dihiasi 10,000 bendera itu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Suasana di Pasar Chabang Tiga di sini, bertukar wajah apabila 10,000 Jalur Gemilang menghiasi persekitaran premis berkenaan sempena Hari Ulang Tahun Kemerdekaan Ke-64.

Selain Jalur Gemilang, segelintir peniaga berpakaian bertemakan Hari Kebangsaan termasuk bertanjak bagi menyemarakkan lagi sambutan 31 Ogos.

Jika sebelum ini jeritan ikan atau ayam yang bergema, namun kali ini turut diselangi dengan laungan merdeka oleh kalangan peniaga.

Pengerusi pasar, Zabidi Zahid, 46, berkata, inisiatif yang julung kali dilaksanakan itu mendapat sambutan menggalakkan daripada kesemua 400 peniaga walaupun mengeluarkan duit poket sendiri.

Katanya, keunikan yang ditampilkan itu dalam masa sama dapat menarik kedatangan pelanggan ke Pasar Cabang Tiga yang ditutup baru-baru ini akibat penularan Covid-19.

“Sambutan tahun ini cukup meriah berbanding tahun-tahun sebelumnya, malah mereka sanggup menghias kedai masing-masing dengan Jalur Gemilang.

“Kalau boleh kita mahu menjadikan Pasar Cabang Tiga ini sebagai pasar awam pertama yang menyemarakkan sambutan hari ulang tahun kemerdekaan,” katanya ketika ditemui semalam.

Zabidi berkata, kebanyakan peniaga mula menghias kedai masing-masing sejak minggu lalu dan kedai dengan hiasan paling kreatif bakal memenangi ganjaran menerusi pertandingan yang diadakan.

Sementara itu, seorang pengunjung, Ithna Aini Abdul Ghani, 53, teruja dengan ‘suasana merdeka’ di pasar berkenaan.

“Saya kagum dengan semangat peniaga walaupun sibuk menjalankan perniagaan tetapi tidak melupakan sambutan 31 Ogos,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN