PETALING JAYA: Kerajaan digesa tidak berlengah melaksanakan pengharaman rokok elektronik dan rokok yang kini semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan belia.
Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), N. V. Subbarow berkata, akses yang mudah terhadap produk itu menyebabkan kanak-kanak seawal usia 10 tahun sudah mula terjebak dengan ketagihan nikotin.
Katanya, kelewatan bertindak hanya akan mengundang lebih ramai generasi muda hanyut dalam tabiat merokok, sekali gus menjejaskan kesihatan, pelajaran serta masa depan mereka.
Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad memaklumkan kerajaan menyasarkan pengharaman penuh rokok elektronik dapat dilaksanakan selewat-lewatnya pertengahan tahun depan selepas cadangan Jawatankuasa Pakar dibentangkan kepada Jemaah Menteri.
Dalam pada itu, Subbarow berkata, kerajaan tidak sepatutnya menunggu sehingga 2026 untuk membuat keputusan kerana ketika itu kesan buruk sudah terlalu meluas.
Katanya, larangan secara berperingkat tidak wajar, sebaliknya penguatkuasaan menyeluruh perlu dilaksanakan segera kerana vape tidak boleh lagi dianggap isu kecil.
“Kerajaan mesti tegas tanpa berkompromi dengan kepentingan industri. Vape sama bahayanya seperti narkotik dan tidak wajar diberi ruang dalam masyarakat,” katanya.
Subbarow turut mencadangkan larangan pameran produk di kedai serta penutupan lesen baharu di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengelakkan lebih ramai kanak-kanak dan remaja terpengaruh.
“Kerajaan perlu berani mengambil tindakan drastik demi menyelamatkan masa depan generasi akan datang,” katanya. – UTUSAN










