PETALING JAYA: Dunia kini bukan sahaja menyaksikan pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin, sikap kekejaman Israel di Gaza sudah mencapai tahap holokus alaf baharu.
Holokus lazimnya merujuk kepada tragedi Perang Dunia Kedua apabila enam juta Yahudi dibunuh secara sistematik oleh Nazi antara 1941 hingga 1945, namun corak serangan Israel di Gaza kini menyerupai peristiwa itu dengan rakyat Palestin menjadi mangsa.
Pensyarah Undang-undang Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Salawati Mat Basir berkata, serangan Israel bukan bersifat rawak, sebaliknya strategik dengan menghancurkan seluruh wilayah Gaza berkeluasan 360 kilometer persegi sejak 7 Oktober 2023.
Katanya, rejim mengarahkan penduduk Gaza berpindah randah dari utara ke selatan dan pada akhirnya mengumpulkan mereka di satu lokasi kecil di pesisir pantai iaitu Al-Mawasi.
“Percayalah Israel akan bunuh rakyat Palestin di Gaza seperti mana pernah dilakukan tentera Nazi satu ketika dulu iaitu membunuh orang Yahudi dengan memasukkan mereka ke dalam bilik bergas, namun kini Israel akhirnya akan tolak semua rakyat Palestin ke dalam laut,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, rancangan Israel menguasai Gaza sebenarnya sudah diketahui sejak 2017 lagi kerana banyak indikasi menunjukkan niat mereka.
“Banyak indikasi menjurus ke arah itu dan akhirnya, nampak tak sekarang ini, Israel tolak semua penduduk Gaza ke Al-Mawasi, hendak buat apa? Itulah holokus, bukan lagi genosid.
“Malah pandangan sama turut disuarakan beberapa pemerhati antarabangsa apabila mereka mula menggunakan istilah sama sebelum ini.
“Sama ada mana-mana negara mahu ikut atau tidak dengan pandangan tersebut, itu masalah mereka, tetapi dari segi kepakaran kami bukan lagi genosid, itu sudah tahap holokus,” katanya.
Salawati juga memetik laporan penyelidikan dua ahli akademik Australia iaitu Dr. Richard Hil and Dr. Gideon Polya pada Julai lalu yang menganggarkan kematian sebenar Gaza mencecah 680,000 orang walaupun Kementerian Kesihatan Gaza merekodkan 66,000 nyawa.
Katanya, kedua-dua ahli akademik itu menyanggah data pihak berkuasa Gaza yang hanya merekodkan kematian akibat serangan bom dengan berpandangan jumlah korban sebenar berdasarkan serangan langsung dan tidak langsung Israel.
“Antaranya kezaliman Israel menyebabkan rakyat Gaza hidup dalam serba daif yang akhirnya membawa kepada kematian akibat kebuluran,” katanya.-UTUSAN











