Nasib baik dia tak muntah ... - Utusan Malaysia

Nasib baik dia tak muntah …

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Seorang kawan Grab bernama Rizal, membuka cerita kepada saya tentang pengalamannya ketika awal menjadi pemandu Grab dua tahun lepas.

Awal pukul 9 pagi, Rizal mendapat pesanan Grab di Cyberjaya. Destinasi ke Puchong. Penumpangnya seorang lelaki India yang kelihatan seperti agak mabuk.

“Masa itu, hati saya dah berdetik, janganlah muntah dalam kereta. Yang order Grab, kawan lelaki ini. Sebelum kereta bergerak, kawan dia telefon isteri lelaki ini dan si isteri berjanji akan bayar tambang. Penumpang memang mabuk, melepek je di kerusi.

“Dalam perjalanan, penumpang ini mendapat call daripada isteri. Mereka bergaduh. Saya pun tak faham apa yang mereka bertengkar. Boleh tahanlah berlawan cakap.

“Rupa-rupanya dia ada masalah keluarga. Perkahwinan tak direstui keluarga mentua. Masa on the way ke sana, dia tiba-tiba cakap tak mahu balik rumah dan hendak kembali ke rumah kawan tadi,” cerita Rizal.

Arghh… sudah. Tambang belum dibayar. Apa terjadi sekali pun, kena sampai ke destinasi juga sebab perlu kutip tambang dari si isteri.

Waktu itu kata Rizal, dia berkeras mahu hantar balik mengenangkan duit tambang yang belum dibayar.

“Kemudian si penumpang kata, dia akan bayar lebih. Dengar saja bayar lebih, saya pun okey sajalah.

“Apa pun saya minta dia jelaskan tambang dulu baru boleh hantar semula ke rumah kawan tadi. Takut juga kena tipu pagi-pagi.

“Penumpang itu setuju. Katanya, dia bayar RM100 untuk trip itu. Kemudian, dia bagi telefonnya dan suruh pindahkan wang dari akaun Maybank2u dia kepada saya,” kata Rizal.

Rizal mengambilnya kerana si penumpang tadi memang agak mabuk dan mungkin pening untuk membuat transaksi sedemikian.

“Saya pun buka akaun bank dia dengan kata kunci yang dia bagi. Terkejut saya tengok baki akaun dia, ada RM30,000. Banyak tu!

“Saya kata, Wow! Ada banyak duit bos. Dia kemudian kata, ‘haa, ambik RM100 saja. Jangan RM30,000 ya, saya masih sedar lagi. Saya manager maa…, kata dia.

“Tidaklah saya nak buat aniaya macam itu. Saya transfer RM100 ke akaun saya seperti yang dijanji dan pusing semula kereta ke Cyberjaya.

“Tengah jalan itu, tiba-tiba dia minta saya hantar balik rumah pula. Aduh, saya layankan sajalah sebab tambang pun dah bayar,” kata Rizall.

Dalam perjalanan menghampiri rumah, si penumpang meminta Rizal memberhentikan kereta kerana mahu membuang air kecil.

“Saya layankan juga dan berhenti kereta di sebuah sekolah Cina. Dia keluar dari kereta dan pergi ke sebatang tiang elektrik dan kencing di situ. Selamba je dia.

“Saya kemudian hantarnya ke rumah. Melihat kawasan perumahan yang dia tinggal, memang kawasan orang berada. Betullah agaknya kata penumpang itu yang dia kerja sebagai pengurus.

“Dia keluar dari kereta dan jalan huyung-hayang. Saya ucapkan terima kasih sebab bagi tambang yang banyak.

“Dalam masa sama, rasa lega sangat sebab dia tak muntah di dalam kereta. Kalau tak, ‘masak’ saya,” kata Rizal bercerita sambil tergelak.

Iyalah, kalau termuntah di dalam kereta, kos mencuci dan menghilangkan bau pun mesti lebih RM100. Tak berbaloi!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN