Muhyiddin menghadap Agong Isnin? - Utusan Malaysia

Muhyiddin menghadap Agong Isnin?

AHMAD Faizal Azumu melambai ke arah media selepas keluar dari kediaman Perdana Menteri di Bukit Damansara, Kuala Lumpur, semalam. – MINGGUAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kedudukan Perdana Menteri terus menjadi perhatian ramai apabila media melaporkan beliau dijangka meng­hadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Isnin ini.

Ia susulan khabar angin yang menjelaskan kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin menghampiri garisan penamat dan bakal melepaskan jawatan tidak lama lagi.

Menerusi perkembangan yang sama, sumber pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memberitahu Mingguan Malaysia bahawa Muh­yiddin dijangka melepaskan jawatan selewat-lewatnya esok.

“Saya menjangkakan perkara ini akan menjadi lebih awal, selewat-lewatnya esok,” kata­nya ketika dihubungi semalam.

Situasi Muhyiddin dilihat sukar apabila pembangkang dan UMNO semalam menolak tawaran rentas kepartian sebagai balasan kepada meluluskan undi percaya terhadapnya di Dewan Rakyat, September ini.

Malah, pegawai pimpinan kanan kerajaan turut memaklumkan, tiada mana-mana parti yang tampil memberi sokongan terhadap apa yang ditawarkan Perdana Menteri.

“Tidak ada pun yang datang pada kita setakat ini. Memang tidak ada,” ujarnya.

Menjelaskan kedudukan DAP yang dilihat memberi majoriti tipis kepada Muhyiddin, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil menjelaskan, seorang daripadanya yang dilihat cenderung kepada Perdana Menteri telah kembali kepada Pakatan Harapan (PH).

“Ong Kian Meng dah patah balik, malam tadi dia dah jelaskan pada kita. Tinggal Tony Pua sahaja,” katanya ringkas ketika dihubungi.

Terdahulu, Tony Pua yang juga Ahli Parlimen Damansara telah menimbulkan persoalan mengenai usaha sia-sia menjatuhkan Muhyiddin yang berkemungkinan besar akan berpihak atau memberi manfaat kepada UMNO.

Sementaa itu, Penasihat Khas kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, mesyuarat tergempar pada petang semalam hanya satu mesyuarat pengurusan parti.

Beliau berkata, mesyuarat itu berlangsung selama sejam.

“Saya mempengerusikan mesyuarat pengurusan parti. Lepas ini saya balik rumah makan goreng pisang,” katanya sejurus keluar dari rumah Perdana Menteri, Bukit Damansara, di sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×