MELAKA: Melaka dijangka mencapai imuniti kelompok sebulan lebih awal pada penghujung Oktober depan berbanding sasaran ditetapkan kerajaan Pusat sebelum ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, kemampuan itu dinilai dengan peningkatan kapasiti pemberian vaksin mencecah hampir 22,000 dos sehari selepas pembukaan dua buah pusat pemberian vaksin (PPV) mega.
Menurut beliau, PPV mega itu masing-masing di Stadium Hang Jebat yang mula beroperasi hari ini dan Stadium Jasin.
“Pembukaan dua buah PPV Mega, Melaka mampu mencapai imuniti kelompok pada Oktober depan, manakala bagi suntikan dos pertama golongan berusia 18 tahun ke atas dijangka mencecah 100 peratus pada September.
“PPV Hang Jebat dan PPV Jasin akan menampung pemberian 8,000 vaksin sehari, menjadikan jumlah keseluruhan kapasiti semasa suntikan harian negeri ini meningkat kepada 21,942 suntikan,” kata beliau selepas meninjau PPV Mega Stadium Hang Jebat di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, setakat ini bekalan vaksin mencukupi dan Melaka dijangka menerima tambahan 300,000 dos pada bulan hadapan.
“Bekalan vaksin memang tidak mempunyai masalah, bagi Ogos kita menerima 500,000 dos dan dijangka bulan September akan ditambah 300,000 dos lagi,” ujarnya.
Tambahnya, setakat Ahad lalu, Melaka mencapai 83.2 peratus bagi suntikan dos pertama, manakala individu yang lengkap menerima vaksin adalah 60 peratus.
Rahmad berkata, hanya lima peratus iaitu kira-kira 37,000 daripada 677, 400 individu berusia 18 tahun ke atas belum mendaftar untuk menerima suntikan vaksin. – UTUSAN