PUTRAJAYA: Malaysia mengutuk keras serangan pengganas terhadap orang awam di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai di Kabul, Afghanistan.
Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan memaklumkan, kerajaan turut melahirkan perasaan simpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban akibat kejadian berdarah itu.
“Serangan tidak berperikemanusiaan ini memburukkan lagi keadaan dan situasi kemanusiaan yang sudah kritikal di Afghanistan,” katanya.
Kelmarin, media antarabangsa melaporkan serangan dipercayai dilakukan musuh kuat Taliban iaitu militan Daesh Khilafah Islam Khorasan yang turut mengaku bertanggungjawab.
Kejadian tidak dijangka itu turut berlaku serentak di sebuah hotel berhampiran lapangan terbang tersebut serta mengorbankan lebih 100 orang termasuk wanita dan kanak-kanak.
Sejumlah 13 anggota tentera Amerika Syarikat yang mengawal lapangan terbang itu juga terbunuh, menyebabkan ramai pemimpin dunia mengecam aksi serangan bunuh diri berkenaan.
Taliban yang menguasai ibu kota Kabul sejak 15 Ogos lalu, dijangka mentadbir lapangan terbang itu secara rasmi selepas semua warga asing selesai keluar ditetapkan pada 31 Ogos ini.
Kementerian Luar menegaskan, Malaysia menyeru semua pihak terbabit agar memberi keutamaan kepada keselamatan orang awam yang berhasrat meninggalkan negara itu.
“Namun pada masa sama, masyarakat antarabangsa dan badan sejagat perlu memastikan bantuan kemanusiaan tetap disalurkan kepada rakyat Afghanistan yang memerlukan,” katanya.
Kerajaan Malaysia malahan tetap memberi sokongan kepada segala usaha damai dan penyelesaian konflik politik berterusan demi kepentingan kesejahteraan rakyat Afghanistan. – UTUSAN ONLINE










