ALOR SETAR: Persatuan Pengguna Negeri Kedah (Cake) mencadangkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) menjalankan vaksinasi secara lebih meluas mengikut lokaliti penempatan penduduk.

Setiausahanya, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, langkah tersebut perlu dilakukan kerana masih ramai penduduk di negeri ini tanpa mengira peringkat umur belum mendapat tarikh janji temu suntikan vaksin.
“Ada yang mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera sejak Februari lalu tapi belum dapat tarikh janji temu, tapi yang mendaftar lebih lewat sudah dapat tarikh dan menerima vaksin.
“Ia sebenarnya memerlukan satu proses yang lebih efisien bagi memastikan lebih ramai penduduk di negeri ini divaksin,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Kelmarin, Sultan Kedah menzahirkan dukacita terhadap peningkatan kes Covid-19 di negeri ini yang kekal empat angka setiap hari sejak sebulan lalu.
Menurut satu kenyataan dikeluarkan melalui Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Bakar Din, baginda bertegas agar kerajaan memberi pertimbangan wajar untuk memperluas vaksinasi kepada populasi yang layak.
Titah baginda, sehingga 16 Ogos lalu, kadar vaksinasi bagi populasi dewasa di negeri ini berusia 18 tahun ke atas yang lengkap dua dos baru mencecah 31.8 peratus.
Mohamad Yusrizal menambah, pihaknya menerima aduan masih ramai dalam kalangan penduduk di negeri ini belum mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera terutama warga emas dan golongan kurang upaya (OKU).
Jelasnya, golongan tersebut memerlukan proses pemberian vaksin secara walk-in di kawasan berhampiran rumah mereka.
“Sama ada di kawasan bandar atau luar bandar, petugas kesihatan perlu ke penempatan mereka untuk memberikan suntikan vaksin, contohnya menggunakan dewan orang ramai atau masjid.
“Cake juga percaya tidak semua penduduk dapat ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) kerana masalah kewangan atau keuzuran,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE