Manshahar mahu cari muka baharu pecut

Manshahar mahu cari muka baharu pecut

Zaidatul Husniah Zulkifli (kiri) ketika bersaing dengan pelari Ghana, Owusu Agyapon dalam saringan 100 meter Sukan Komanwel Gold Coast 2018. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kemarau pingat acara pecut wanita masih lagi membelenggu skuad olahraga negara apabila sehingga kini tiada seorang wakil berjaya menaiki podium pada Sukan SEA.

Ketua jurulatih olahraga negara, Manshahar Abdul Jalil mengakui pencarian bakat perlu dilakukan terutama di peringkat sekolah bagi mencari pengganti pelari pecut wanita yang ketika ini dipikul oleh Zaidatul Husniah Zulkifli.

Katanya, atlet pelapis yang dimiliki ketika ini belum berupaya untuk menandingi atau pun sekurang-kurangnya menyamai pencapaian atlet berusia 32 tahun itu.

“Ya, memang kena ada bakat baharu. Kita ada atlet pelapis tetapi tidak sebaik Zaidatul kerana tiada atlet yang boleh menghampiri pencapaian dia.

“Zaidatul pun, jika diikutkan kedudukan ranking sebelum ke Sukan SEA tahun ini, dia berada di kedudukan kelima. Dia atlet yang terbaik kita ada, apatah lagi yang lain.

“Memang kita kekurangan atlet pecut wanita dan kita kena cari pengganti, sebab apabila difikirkan semula, Zaidatul pernah menang perak pada edisi 2017 dan sebelum itu tiada atlet wanita yang muncul.

“Kita perlu cari atlet yang benar-benar ada potensi di peringkat Sukan SEA, jadi memang kena ada pencarian dan penambahbaikkan. Itu memang kita tidak nafikan.

“Pencarian akan dibuat sama ada di peringkat sekolah atau mana-mana kejohanan domestik selain menggilap bakat yang sedia ada,” katanya.

Zaidatul menamatkan saingan 100 meter (m) di kedudukan terakhir selepas melakukan larian 11.87 saat (s) yang dimenangi oleh Veronica Shanti Pereira dari Singapura pada Sukan SEA 2025 baru-baru ini.

Pencapaian terbaik Zaidatul di temasya itu pada 2017 ketika Kuala Lumpur menganjurkannya apabila dia membawa pulang dua perak masing-masing dalam acara 100m dan 200m.

Zaidatul menamatkan penantian panjang itu selepas kali terakhir atlet pecut wanita negara menaiki podium di temasya tersebut pada edisi 1997 menerusi G. Shanti yang memenangi pingat emas dalam acara 100m dan 200m. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN