PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menjadi penentu kepada kemelut politik yang dihadapi pada masa kini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Marzuki Yahya berkata, semua pihak mengharapkan apa sahaja keputusan selepas ini adalah untuk memastikan bahawa kedudukan negara, ekonomi, kesihatan rakyat dapat dipulihkan seperti sedia kala.
Katanya, ini berikutan Seri Paduka sebagai orang yang berkuasa akan membuat semakan semula kembali sama ada untuk berjumpa dan berbincang dengan pemimpin dari parti politik.
“Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu meletakkan jawatan secara terhormat kerana keabsahannya sudah terbukti bahawa gabungan parti yang menubuhkan Perikatan Nasional (PN) secara terang dan termasuk ahli parlimen membuat kenyataan yang jelas kepada Seri Paduka Baginda untuk menarik sokongan kepada beliau (Muhyiddin).
“Maka dengan secara automatiknya, beliau (Muhyiddin) harus meletak jawatan seperti mana beliau menarik keluar parti bersama dengan Azmin ( Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) meninggalkan Pakatan Harapan sehinggakan Tun (Dr. Mahathir Mohamad) terpaksa melepaskan jawatan,” katanya.
Tambah beliau, perkara itu juga bukanlah satu kegembiraan kerana wabak Covid-19 adalah masalah yang dihadapi negara dan rakyat.
“Maka ini bukan soal kita nak berpolitik, kita sudah tahu kerajaan gagal dan tidak lagi absahan dan beliau harus meletakkan jawatan,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mat Akin berkata, Seri Paduka tentunya bertindak mengikut peruntukan dalam perlembagaan berhubung siapa yang mendapat sokongan majoriti di Parlimen untuk menjadi perdana menteri.
Katanya, secara rasminya perdana menteri dan jemah menteri terbubar kerana tidak lagi mendapat sokongan.
“Mengikut peruntukan perlembagaan persekutuan artikel 43(4), apabila seorang perdana menteri sudah hilang majoriti, maka dia hendaklah meletakkan jawatan dan ini sudah termaktub dalam perlembagaan.
“Apabila beliau ingkar, itu bermakna beliau mengingkari perlembagaan dan tentunya pihak polis sebagai penjaga keselamatan negara harus memberhentikan semua kepentingannya sebagai perdana menteri kerana tidak mendapat sokongan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










