SHAH ALAM: Kemasukan harian pesakit Covid-19 di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang mencatatkan penurunan lebih 50 peratus sejak minggu lalu.
Statistik menunjukkan jumlah kes diterima hospital itu berkurangan sehingga 170 berbanding 400 kes sebelum ini.
Pengarah HTAR, Dr. Zulkarnain Mohd. Rawi berkata, gelombang penurunan kemasukan itu mula berlaku antara awal sehingga pertengahan bulan lalu.
Menurut beliau, pesakit Covid-19 yang menerima rawatan di HTAR kini didapati berkurangan iaitu kurang daripada 900 orang.
“Saya bersyukur jumlah kemasukan pesakit menurun lebih 50 peratus sejak minggu lalu.
“Keadaan itu sekali gus mengurangkan pesakit kategori tiga ke atas untuk dimasukkan ke dalam wad,” kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Zulkarnain, penurunan positif itu membuktikan keberkesanan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) termasuk di daerah Klang.
“HTAR kini dalam keadaan terkawal dan kita meliputi semua pegawai serta kakitangan sentiasa terus komited untuk memerangi pandemik.
“Saya turut berharap trend penurunan ini akan berterusan dan meminta orang ramai terus mengambil vaksinasi masing-masing,” ujarnya.
Tambah beliau, pengisian katil bagi unit rawatan rapi (ICU) pesakit Covid-19 di hospital itu kini kira-kira 92 peratus.- UTUSAN










