Kekejaman komunis rampas kad pengenalan, bunuh penduduk di Pekan Kerdau - Utusan Malaysia

Kekejaman komunis rampas kad pengenalan, bunuh penduduk di Pekan Kerdau

JAZAM Lusah menunjukkan gambar kekejaman komunis semasa darurat yang disimpan di dalam telefon bimbitnya di Felda Ulu Jempol, Maran, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Peristiwa kekejaman komunis atau Bintang Tiga di Tanah Melayu selepas kekalahan Jepun dalam Perang Dunia Kedua 1945 dan zaman darurat selama 12 tahun masih menjadi igauan rakyat negara ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang bekas wartawan sambilan, Jazam Lusah, 86, berkata, dia masih ingat segerombolan komunis seramai 40 orang merampas kad pengenalan penduduk di Pekan Kerdau, Temerloh.

Katanya, ketika itu dia berusia 12 tahun sekitar tahun 1947 berada di pekan sehari Kerdau melihat sendiri keganasan Bintang Tiga merampas kad pengenalan yang dikeluarkan oleh Inggeris.

“Ada penduduk yang diseksa malah ada yang dibunuh kerana sebab-sebab tertentu seperti dendam menyokong Jepun dan lain-lain.

“Saya masih ingat ketua Bintang Tiga itu seorang Melayu dikenali sebagai Wan Ali, seorang komunis Melayu yang sangat digeruni ketika itu,” katanya di Felda Ulu Jempol di sini, semalam.

Jazam yang membesar di Kerdau dan Temerloh dekat sini dapat merasai kesukaran dan keperitan hidup di zaman darurat serta kekejaman komunis yang diibaratkan ‘beraja di mata bersultan di hati’.

“Kekejaman bintang tiga memang peristiwa yang tidak saya lupakan sehingga akhir hayat. Saya sebak apabila melihat gambar yang menyaksikan kekejaman komunis di negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, dia menjadi pemberita sambilan untuk beberapa akhbar sejak awal 1957 ketika berusia 22 tahun.

Menurutnya, banyak berita yang ditulisnya menjadi berita utama seperti berita rombongan UMNO Pahang ke Kuala Lumpur bagi meraikan sambutan Hari Kemerdekaan Negara pada 31 Ogos 1957.

“Dulu menjadi pemberita berbekalkan semangat juang tinggi kerana tiada kenderaan seperti basikal, motosikal apa lagi kereta dan alat komunikasi,” katanya.

Tambahnya, ketika itu masih banyak hutan tebal diduduki binatang buas seperti harimau dan gajah turut menjadi subjek berita serta keselamatan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN