Jual kereta demi kelangsungan kedai gunting rambut - Utusan Malaysia

Jual kereta demi kelangsungan kedai gunting rambut

MOHD. Azrulnizam Azran (kiri) dan pembantunya, Mohd. Rafiq Ishak mengemas kedai gunting rambut walaupun belum dibenarkan beroperasi di Taman Rambai Utama, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang pengusaha kedai gunting rambut di Taman Rambai Utama dekat ini, terpaksa menjual keretanya demi mempertahan perniagaan yang diusahakan sejak 2017 daripada gulung tikar.

Mohd. Azrulnizam Azran, 39, berkata, kedudukan kewangannya meruncing apabila kedai gunting rambut tidak boleh operasi kerana Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri belum memberikan ‘lampu hijau’, walaupun Persekutuan membenarkan 11 aktiviti ekonomi di negeri-negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Terkesan dengan keadaan itu, dia mengambil keputusan menjual kereta Proton Arena dengan harga RM30,000.

“Kalau saya tak jual kereta, ada kemungkinan terpaksa tutup kedai. Situasi inilah yang terjadi kepada rakan-rakan yang ramai gulung tikar sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Duit jual kereta dapatlah saya bayar hutang sewa kedai yang tertunggak beberapa bulan, sewa rumah, utiliti dan perbelanjaan harian menanggung isteri serta tiga anak berusia sembilan tahun hingga 14 tahun,” kata beliau kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, MKN negeri mengumumkan Melaka belum dibenarkan membuka 11 sektor ekonomi yang diberi kelonggaran bermula kelmarin berikutan kadar suntikan dos kedua di negeri ini belum melepasi kadar 50 peratus mengikut syarat indikator.

Menurut Azrulnizam, dalam tempoh tidak beroperasi, sembilan pekerjanya terpaksa dicutikan tanpa gaji kepada tidak mampu membayar mereka.

Dalam pada itu, katanya, apa yang lebih penting, dia tidak mahu hasil titik peluhnya berbelanja hampir RM30,000 untuk membuka kedai gunting rambut disia-siakan begitu sahaja.

“Covid-19 ini benar-benar menguji kesabaran. Saya tidak pernah rasa susah begini sampai tidak ada pendapatan.

“Saya tidak mahu kehilangan kedai kerana sudah bertapak lama dan mempunyai pelanggan tetap,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN