Jangan salah guna kelonggaran yang diberikan kepada penerima vaksin - Utusan Malaysia

Jangan salah guna kelonggaran yang diberikan kepada penerima vaksin

MOHIDEEN ABDUL KADER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kelonggaran kepada individu yang mendapat suntikan vaksin lengkap Covid-19 disifatkan sebagai langkah tepat untuk menghidupkan semula sektor ekonomi domestik yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, orang ramai perlu bertanggungjawab dengan memastikan tidak menyalahgunakan kelonggaran yang diberikan kerajaan itu.

“Sekatan perjalanan memang tidak boleh dilaksanakan secara berterusan, kerajaan perlu buka sektor ekonomi untuk membantu rakyat menjana pendapatan.

“Namun, orang ramai yang telah mendapat suntikan vaksin Covid-19 perlu menjaga diri masing-masing ketika keluar daripada rumah dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kemudahan kepada individu yang menerima dua dos vaksinasi lengkap yang mana antara kemudahan itu ialah pasangan suami isteri jarak jauh yang memenuhi syarat berkenaan dibenarkan merentas daerah dan negeri untuk bertemu pasangan masing-masing.

Selain itu, kebenaran untuk makan dan minum di restoran juga diberikan kepada individu yang lengkap dua dos vaksinasi bermula esok.

Menurut Mohideen, orang ramai juga perlu terus mengelak daripada berada di lokasi-lokasi sesak sehingga kes Covid-19 dapat dikurangkan.

“Kawalan kendiri amat penting ketika ini, jangan ambil risiko dan hanya keluar apabila perlu walaupun telah mendapat vaksin lengkap,” katanya.

Dalam pada itu kata beliau, pihaknya juga bimbang sekiranya ada individu yang tidak bertanggungjawab bertindak memalsukan sijil digital vaksin menerusi aplikasi MySejahtera.

“Peranan agensi penguatkuasaan amat penting untuk mengelak perkara ini daripada berlaku, mereka perlu memantau orang ramai agar tiada pemalsuan sijil digital berlaku,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN