PETALING JAYA: Dianggarkan 10,000 kontraktor yang diberikan projek binaan pada tahun lepas terpaksa menarik diri berikutan harga barang binaan yang semakin meningkat sehingga melebihi 50 peratus.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (Perkobf Malaysia), Tukiman Radion berkata, peningkatan harga bahan binaan itu menyebabkan ramai ahli persatuan berkenaan terkesan kerana kenaikan harga melibatkan semua jenis bahan binaan yang diperlukan.
Katanya, pemulangan semula projek itu bukan sahaja melibatkan beberapa projek yang sudah diberi sejak dahulu, malah turut melibatkan projek yang baru dianugerahkan.
“Pemulangan itu bagi mengelakkan kerugian, bebanan dan masalah sekiranya projek tidak dapat disiapkan akibat harga binaan yang tidak memadai dengan kos projek.
“Apabila seseorang kontraktor itu melawat tapak untuk melaksanakan projek dan setelah dikira tidak memberi keuntungan, maka mereka pulangkan semula projek tersebut.
“Dahulu metal deck roof (bumbung besi) berharga 2.70 sekaki, tetapi kini 5.70 sekaki, C channel (kerangka bumbung) naik RM35 satu batang daripada RM21, simen naik dari RM14 kepada RM18 untuk satu beg manakala satu tan pasir naik daripada RM120 kepada RM180,” katanya ketika dihubungi semalam.
Akhbar ini pernah melaporkan kira-kira 90 peratus daripada 34,000 kontraktor F di negara ini menanggung kerugian teruk dan mungkin ‘gulung tikar’ jika kerajaan tidak mengambil tindakan membendung kenaikan harga bahan binaan yang naik mendadak ketika ini.
Menurut Tukiman, pihaknya menggesa kerajaan melihat semula garis panduan dan jadual kadar harga sedia ada untuk diberikan kepada kontraktor kecil.
Katanya, kadar tersebut perlu dilihat mengikut kemampuan dan mengikut jadual kadar harga yang baharu kerana jadual kadar harga 2018 yang digunakan masa kini adalah kadar pada harga yang lama.
“Difahamkan, Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam proses untuk membuat semula jadual pada kadar harga baharu, tetapi kami masih belum menerima apa-apa makluman mengenai penetapan tersebut.
“Memang JKR tahu kadar harga baharu, tetapi berkemungkinan jabatan lain yang memberi projek kepada kontraktor kecil tidak tahu apa yang sepatutnya dilakukan dan masih mengikut kadar harga lama iaitu jadual kadar harga pada tahun 2018,” katanya. – UTUSAN










